Kira-kira 300 peserta sertai larian SABERKAS Borneo Eco Trek

0

SIBU: Larian Ulang Tahun Kelima SABERKAS Unit Borneo Eco Trek menarik penyertaan kira-kira 300 peserta termasuk dari negara China.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Penasihat SABERKAS Unit Borneo Eco Trek, Datuk James Tai di Sibintek, Batu 24, Jalan Oya, petang kelmarin.

Pengerusinya, Raymond Tiong berkata larian tersebut mendapat sambutan baik turut disertai peserta dari Semenanjung Malaysia, Kuching, Tatau, Bintulu dan ahli-ahli kelab sukan lasak di Sibu.

“Larian dibahagikan kepada tiga kategori iaitu jarak jauh dalam tempoh dua jam, sederhana (sejam) dan pendek (45 minit).

“Kategori paling mendapat sambutan ialah larian pendek,” jelasnya sambil menambah Sibintek sudah dua kali menjadi lokasi penganjuran larian itu.

Sebelum itu, Tiong memberitahu SABERKAS Unit Borneo Eco Trek pernah menganjurkan acara larian di Methodist Centennial Park Sibu dan YMCA.

Tiong berkata, larian bertujuan meraikan ulang tahun kelima SABERKAS Unit Borneo Eco Trek di samping memberi peluang kepada peserta berseronok sambil menikmati alam semula jadi.

“Penganjur memilih Sibintek sebagai lokasi larian disebabkan faktor persekitaran alam semula jadi yang indah dan kemudahan meletakkan kenderaan luas berbanding di tempat lain,” katanya.

Hadir sama Penolong Setiausaha SABERKAS Unit Borneo Eco Trek, Nicholas Lau Chan serta ahli-ahli jawatankuasanya.