Limbang dibadai ribut kencang

0

ROSAK: Antara kenderaan yang dihempap khemah dalam kejadian ribut itu.

LIMBANG: Beberapa rumah di daerah ini mengalami kerosakan manakala banyak pokok tumbang selain kerosakan harta benda awam dalam kejadian ribut disifatkan terburuk pernah melanda Limbang petang kelmarin.

Dalam kejadian ribut sekitar jam 5 petang itu, antara rumah yang terjejas termasuk tiga rumah di Kampung Bukit Kota yang mengalami kerosakan di bahagian atap selepas diterbangkan angin dalam keadaan ribut petir dan hujan lebat.

Turut terjejas ialah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Limbang, bumbung kedai bangunan lama, khemah kedai di pusat bandar, perumahan Desa Patiambun dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Limbang Bonny Martin berkata, lebih 20 panggilan diterima berhubung pokok tumbang akibat kejadian ribut itu.

Beliau berkata anggota bomba bertungkus-lumus memotong pokok tumbang di kawasan terjejas.

Bagaimanapun katanya tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

BERTERBANGAN: Atap rumah penduduk di Kampung Bukit Kota yang diterbangkan angin.