Triatlon Antarabangsa diperhebat

0

Oleh Sudan Ajang //

Mempromosikan secara meluas bagi menarik lebih ramai peserta dari seluruh dunia, kata Lee

MIRI: Persatuan Triatlon Sarawak (SATRIA) disarankan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam mempromosikan acara Triatlon Antarabangsa Sarawak (TAS) bagi menarik lebih ramai peserta dari seluruh dunia.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata TAS merupakan satunya triathlon diadakan di Borneo manakala di Semenanjung Malaysia di Port Dickson dan Langkawi justeru perlu dipromosikan secara besar-besaran untuk meningkatkan penyertaan.

“Saya difahamkan TAS menawarkan hadiah lebih besar berbanding triathlon di Port Dickson dan Langkawi. Sebagai contoh, juara bagi kategori individu mendapat hadiah wang tunai RM8,000 manakala berkumpulan RM6,000.

“Miri juga dipilih sebagai hos mengadakan triathlon sejak dahulu kerana persekitaran yang kondusif seperti persisiran pantai berhampiran.

“Justeru, kita berharap SATRIA dapat bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Kementerian Pelancongan bagi mempromosikan kejohanan ini,” katanya pada penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan Triatlon Antarabangsa Sarawak di sini semalam.

Hadir sama Presiden SATRIA, Datuk Azman Samaon dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Lawrence Lai.

Seramai 285 peserta dari 12 negara seperti Brunei, Filipina, Jepun, Australia, Austria, United Kingdom, Afrika Selatan, Singapura, Indonesia, Perancis, New Zealand serta beberapa negeri seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mengambil bahagian pada TAS edisi ke-16 ini.

Sementara itu, sebanyak 10 acara dipertandingkan pada acara sukan lasak berprestij itu iaitu jarak olimpik, sprint triathlon, junior dualthon, lelaki berganti-ganti dan campuran berganti-ganti dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM65,000.

Bagi jarak Olimpik, merangkumi acara renang sejauh 1.5km, berbasikal 40km dan berlari 10km; sprint triathlon (renang 750m, berbasikal 20km dan berlari 5km); junior dualthlon (renang pantai 2km, berbasikal 10km dan berlari 2km) serta lelaki dan campuran berganti-ganti (renang 1.5km, berbasikal 40km dan berlari 10km).

Acara tersebut dianjurkan bersama SATRIA dan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS).

Sementara itu, juara bagi Kategori Jarak Olimpik Lelaki 50 Tahun Khor Ngee Leong, Muhamad Razani Husain (Kategori Jarak Olimpik Lelaki 40-49), Mohamad Allie Helmi Sabtu (Kategori Jarak Olimpik Lelaki 30 – 39 Tahun) dan Mohd Zuhar Ismail (Kategori Jarak Olimpik Lelaki 16 – 29 Tahun).

Manakala bagi Kategori Jarak Olimpik Wanita 16 – 34 Tahun (Irene Chong), (Kategori Jarak Olimpik Wanita 35 – 44 Tahun (Khor Kim Yan) dan Kategori Jarak Olimpik Wanita 45 Tahun (Sandi James).

Kategori Lelaki Sprint 20 Tahun ke Bawah (Muhammad Tareef Azfar Zakaria), Kategori Lelaki Sprint 21 – 39 Tahun (Mohd Amran Abd Ghani) dan Kategori Lelaki Sprint 40 Tahun Ke Atas (Muhamad Razani Husain).

Pada majlis tersebut, Lee turut melancarkan tarikh penganjuran Triatlon Antarabangsa Sarawak pada tahun hadapan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober 2015.