40 pelajar bersaing pada tenis terbuka junior Naim

0

BINTULU: Saingan hebat dapat disaksikan pada Kejohanan Tenis Terbuka Junior Naim bakal disertai lebih 40 pelajar mewakili kelab, akademi dan persatuan tenis masing-masingnya dari Sibu, Miri, Kuching termasuk tuan rumah, Bintulu pada 24 hingga 26 Oktober ini di Gelanggang Tenis Kelab Kidurong di sini.

Peserta terdiri ahi-ahli KKB Tennis Academy (KTA) Bintulu, Akademi Tenis BDA, Sibu DLTA Tennis Academy, Miri DLTA dan Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) Kuching.

Pengarah kejohanan, Liong Woei Hua berkata kejohanan itu merupakan program dirancang Bintulu Division Lawn Tennis Association (BDLTA) sebagai aktiviti tahunan persatuan.

Katanya, BDLTA diterajui presidennya, Sulaiman Sahari merupakan persatuan sukan bertanggungjawab merangka dan menganjurkan aktiviti tenis dan berkaitan di sini.

Menurutnya, kejohanan itu bertujuan menilai tahap kemahiran atau kecekapan para pemain sekali gus mempopular dan menambah minat kalangan pelajar sekolah terhadap sukan tenis.

“Saya berterima kasih atas sokongan diberikan oleh pelbagai pihak untuk pembangunan sukan tenis di sini yang mana usaha

kami bukan sahaja berjaya melahirkan para pemain berkualiti di peringkat bahagian bahkan melahirkan pemain SUKMA,”

katanya pada sidang media penerimaan sumbangan penaja peralatan sukan dan wang tunai daripada Naim Holdings Bhd sebagai penaja utama serta daripada penaja bersama Swagelok (M), BSmart dan tiga individu di Kelab Kidurong Bintulu (KKB) malam kelmarin.

Barangan tajaan disampaikan Pengurus Kanan Operasi Harta Bintulu Naim Land Sdn Bhd, Gerald Sim kepada Liong sambil disaksikan ahli-ahli jawatankuasa BDLTA.

Liong berkata, pihaknya berharap terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dalam pembangunan sukan tenis di sini khususnya dari segi bantuan kewangan dan moral.

Beliau berkata, kejohanan anjuran BDLTA dengan kerjasama KKB, Akademi Tenis BDA dan KTA itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lelaki dan wanita 10 tahun dan ke bawah, 14 tahun dan ke bawah, 18 tahun dan ke bawah serta perlawanan mengikut sistem kalah mati.

Begitupun, sistem liga digunakan sekiranya jumlah peserta kurang daripada empat pasangan untuk semua kategori dan hadiah johan, naib johan dan tempat ketiga bakal membawa pulang pingat dan barangan sukan.