Bendung aktiviti langgar undang-undang

0

Oleh AMIR ANUAR

SALAH seorang anggota PPM Tawau menunjukkan sebuah bot kargo barter trade yang ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan.

TAWAU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berhasrat mengemukakan usul penggantungan semua operasi barter trade di pantai timur Sabah kepada kerajaan.

Cadangan usul terbabit melibatkan kawasan-kawasan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) meliputi Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

Cadangan itu diberikan kerana polis percaya kawasan perairan Esszone memiliki banyak rekod kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya aktiviti penyeludupan.

“Saya akan membawa usul penggantungan aktiviti berkaitan ke Mesyuarat Tindakan Negeri pada masa terdekat supaya kesemua (operasi) bot barter trade dikaji semula.

“Di sini saya tekankan, bot-bot barter trade yang berulang-alik dari Filipina sebagai tidak boleh dipercayai dan wujud kes aktiviti ini disalah guna untuk aktiviti jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di sebuah bot kargo barter trade yang ditahan kerana menyeludup rokok kretek di perairan Tawau kelmarin.

Jalaluddin berkata, lebih baik aktiviti barter trade ditutup sekiranya kesempatan yang ada disalah-guna dan tidak membantu ekonomi negara.

“Kita percaya aktiviti barter trade turut menjadi penyumbang utama kepada berlakunya kegiatan jenayah yang lain terutamanya kes-kes penyeludupan di kawasan terlibat.

“Saya beri amaran kepada pengusaha-pengusaha bot barter trade supaya jangan menganggap pasukan polis sebagai ‘tunggul kayu’,” katanya.

Menurutnya, cadangan penggantungan itu akan dibawa kerana penyeludup dikesan menukar taktik ke barter trade selepas penguatkuasaan perintah berkurung di Esszone.

Beliau berkata pasukan polis sudah mengenalpasti beberapa suspek petualang berdasarkan sumber perisikan dan maklumat tahanan-tahanan untuk membantu siasatan.

“Kita sedang berusaha mencari petualang-petualang kes penyeludupan di daratan dan akan mengambil tindakan drastik mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut Jalaluddin, aktiviti penyeludupan perlu dibanteras kerana mempunyai berhubung-kait dengan kegiatan jenayah lain khususnya penculikan dan wang tebusan.

Usaha juga turut digerakkan untuk mengesan ‘ejen-ejen berbayar’ penyeludup terbabit yang disyaki membocorkan maklumat berkaitan pergerakan pasukan penguatkuasa.

Hadir sama Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Mohamad Madun dan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah.