KPDNKK rampas 27,000 liter diesel bernilai RM73,750

0

LIMBANG: Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi apabila merampas 27,000 liter diesel bernilai RM73,750 dalam operasi sepadu bersama agensi penguat kuasa lain pada Oktober ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata operasi tersebut dilakukan di Miri pada 17 Oktober lalu oleh Pasukan Gerakan Am serta Pasukan Polis Marin Wilayah Lima di Limbang Sabtu lalu dalam operasi sama.

Beliau berkata kementerian berusaha dari semasa ke semasa mengadakan pemeriksaan dan intipan dengan kerjasama agensi penguat kuasa termasuk di kawasan sempadan negeri ini.

“Selain menempatkan agensi penguat kuasa di sempadan, kami juga meneruskan operasi bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain bagi menangani penyelewengan subsidi minyak di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir Ketua Cawangan KPDNKK Limbang Zakaria Awang dan anggota penguat kuasanya.

Mengulas lanjut mengenai kegiatan penyeludupan itu, dua suspek warga asing berumur 33 dan 48 ditahan di Miri kerana disyaki menyalahgunakan subsidi nelayan.

“Manakala seorang warga tempatan berusia 44 tahun kini ditahan di Limbang bagi membantu siasatan kerana dipercayai menyeleweng subsidi minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Abdul Hafidz berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan denda RM100,000 hingga RM250,000 atau tiga tahun penjara di bawah akta sama jika sabit kesalahan.

Katanya KPDNKK tidak berseorangan menangani kegiatan penyeludupan sebaliknya menjalankan operasi bersama agensi-agensi penguat kuasa lain.

Sementara itu ditanya mengenai kenaikan harga barangan berikutan pengurangan subsidi minyak pada 2 Oktober lalu, beliau menjelaskan bahawa harga barangan masih terkawal meskipun menerima maklumat mengenai kenaikan harga barang.

Beliau menambah, kementerian akan mendidik peniaga melalui operasi dijalankan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak menaikkan harga barangan.

“Operasi dijalankan di semua premis di negeri ini juga dilakukan bagi memberi keyakinan kepada penguna bahawa harga barangan masih terkawal,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau mahu pengguna lebih bijak dalam membantu kerajaan memberi maklumat mengenai kenaikan harga barangan.

“Selain itu, pengguna juga perlu membuat pilihan bijak dengan membuat perbandingan harga sebelum membeli barang.

“Mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali bermula Sabtu lalu hingga 27 Oktober (Isnin), tiada aduan diterima mengenai kenaikan harga,” katanya.