Lima polis ditahan

1

Oleh Sandy Mark Luna //

Bagi bantu siasatan kes tembakan di sebuah premis di Kota Samarahan, awal pagi Ahad

TAHAN REMAN: Lima anggota Polis Marin diiringi polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan untuk permohonan reman, semalam.

KUCHING: Lima anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan yang berlaku di sebuah premis di Kota Samarahan, awal pagi kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, berdasarkan hasil siasatan lanjut dan maklumat orang awam mendapati mangsa tembakan serta rakan-rakannya telah melakukan samun di premis itu.

Kebetulan pada masa tersebut katanya, terdapat lima anggota polis berpakaian preman berada di tempat kejadian dan dipercayai salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan.

“Pihak polis akan melakuakn siasatan terperinci dan tidak akan melindungi sebarang perbuatan salah jika dilakukan lima anggota polis berkenaan,” tegasnya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Hasil siasatan lanjut dan berdasarkan maklumat orang awam, mangsa yang cedera dan kawan-kawannya telah melakukan samun di premis tersebut.

Kesemua anggota polis itu ditahan reman manakala pistol mereka dirampas untuk membantu siasatan katanya, sambil menambah,  siasatan teliti akan menjurus kepada semua aspek.

“Setakat ini masih awal untuk membuat rumusan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Awal pagi semalam, iaitu sekitar jam 3 pagi, sepasukan polis daripada Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menangkap lima anggota polis itu di Bintawa.

Kesemua anggota polis berkenaan, yang difahamkan Polis Marin berusia dalam lingkungan 35 hingga 45 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Samarahan DSP Lee Chong Chern ketika dihubungi semalam memberitahu, polis turut menangkap tiga lagi lelaki untuk membantu siasatan, menjadikan jumlah yang ditangkap seramai lapan orang.

“Tiga orang awam dan lima anggota polis ditangkap untuk membantu siasatan. Kami sedang menguruskan perintah reman,” katanya.

Permohonan reman dibenarkan oleh Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Samarahan Paul Joring Nyyon.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari, bermula semalam yang akan berakhir 26 Oktober depan.

Mangsa, 20 tahun yang mengalami luka di perut akibat ditembak, tiba di Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 6 pagi kelmarin untuk menerima rawatan lanjut.

Dia masih mendapat rawatan di hospital dan disahkan kena dua das tembakan.