Nenek maut selepas Saga dan Alza bertembung

0

SIBU: Seorang wanita warga emas maut manakala empat orang yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan Perodua Alza di Jalan Ling Kai Cheng di sini pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti Hajijah Sarujie, 73, dari Kampung Bahagia Jaya.

Semasa kejadian, mangsa berada di tempat duduk sebelah pemandu apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan sekitar jam 6.45 pagi.

Pemandunya, Nur Aziah Yaacob Ahmad, 45, terselamat dan hanya mengalami luka dan cedera di bahagian leher.

Menurut sumber, kedua-dua mereka dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bahagia Jaya selepas menghantar anak ke sekolah pada pagi malang itu.

Bagaimanapun, wanita yang memandu Perodua Alza dikenali Huong Mee Sieng, 49, dipercayai ibu kepada Wong Leg Ling, 19, dan Wong Teck Yee, 16, turut cedera namun tidak membimbangkan.

Balai Bomba Sungai Merah yang menerima panggilan kecemasan jam 6.48 pagi, mengerahkan sembilan anggota diketuai PBKII Azman menaiki kenderaan Scania tiba di lokasi kejadian jam 7.01 pagi.

Ambulans yang turut dimaklumkan mengenai insiden tersebut bergegas ke lokasi namun paramedik mengesahkan Hajijah meninggal dunia di tempat kejadian.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapat rawatan lanjut.

Mayat Hajijah kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu menggunakan kenderaan polis untuk tindakan lanjut.

Semasa kejadian keadaan cuaca hujan renyai-renyai. Punca kemalangan tersebut masih dalam siasatan polis.