Pencuri ditahan dalam tandas pejabat pendidikan

0

Oleh YUSOP TEPPO

KINABATANGAN: Hasrat seorang lelaki tempatan untuk mencuri digagalkan selepas ditahan oleh pihak polis di dalam tandas tingkat satu bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintenden A Sahak Rahmat berkata, seorang pengawal keselamatan bangunan pejabat berkenaan ternampak kelibat seorang lelaki berada dalam bangunan melalui CCTV di pondok pengawal kira-kira jam 3.25 pagi.

Pengawal keselamatan berusia 56 tahun itu kemudiannya menghubungi 999 bagi memaklumkan kejadian itu, katanya.

Beliau berkata, pihak polis yang sedang membuat rondaan menerima maklumat berkenaan dan bergegas ke bangunan pejabat itu.

“Semasa pemeriksaan dijalankan dalam bangunan itu, pihak polis telah ternampak suspek di dalam tandas di tingkat satu.

“Suspek berumur 29 tahun itu ditahan bersama beberapa barang yang dipercayai dicuri dari bangunan pejabat berkenaan.

“Polis juga merampas enam helai baju sukan, tiga helai seluar pendek, satu set DVD writer jenama Samsung, sebilah gunting dan satu beg galas warna hitam,” katanya.

Sahak berkata, pihak polis turut mengarahkan pengawal keselamatan menghubungi pegawai pendidikan daerah untuk mendapatkan maklumat barang-barang yang hilang di dalam pejabat sebelum membuat laporan polis.