Penganut Kristian bebas guna ‘Allah’

1

MIRI: Penganut agama Kristian di negeri ini bebas menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam amalan agama mereka tanpa perlu berasa takut, demikian jaminan yang diberikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh penganut Kristian di negeri ini bukan satu isu atau masalah, hingga boleh menggugatkan kedudukan agama Islam.

Sebaliknya menurut beliau apa yang penting ialah saling menghormati agama dan kepercayaan masing-masing dan ia telah diamal dan dikekalkan di negeri ini sejak sekian lama.

“Saya tidak peduli apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia. (Di Sarawak) kamu boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ pada bila-bila masa, di mana sahaja dan sebagaimana kamu mahu.

“Saya juga tidak akan mengajar kamu bagaimana hendak menyembah Tuhan kamu…Tuhan kamu adalah Tuhan kamu, Tuhan saya adalah Tuhan saya.

“Saya hormat agama kamu dan kepercayaan kamu kerana saya juga mahu kamu hormat kepada agama saya dan kepercayaan saya.

“Walaupun saya tidak bersetuju dengan beberapa prinsip yang ada tetapi saya amat menghormati kepercayaan kamu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 1,000 tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin anjuran Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Sebagai seorang yang pernah belajar di sebuah sekolah mubaligh, Adenan berkata, hanya dengan menggunakan perkataan yang sama, bukan bermakna agama Islam tergugat.

“Saya adalah Ketua Menteri untuk Sarawak, bukan hanya untuk orang Melayu, orang Cina, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu.

“Sarawak sebaliknya adalah sebuah negeri yang cukup besar dan lebih daripada mencukupi untuk setiap orang termasuk kumpulan minoriti seperti kamu.

“Jadi jangan biarkan hanya satu komuniti yang mendominasi, hanya kerana kamu kecil, kerana kamu juga turut memiliki negara ini,” jelas beliau lagi.

Mengenai dakwaan adanya sesetengah kumpulan orang dari luar yang mahu mengislamkan penganut Kristian di Belaga dengan menawarkan RM6,000, jika mereka bersetuju masuk Islam, Adenan berkata beliau sudahpun mengarahkan bekas ADUN Belaga Liwan Lagang menyiasat perkara tersebut dan ia tidak benar.

Beliau berkata ia adalah tindakan mengarut untuk membawa orang menyertai agama mereka hanya kerana RM6,000 dan menegaskan bahawa penglibatan membabitkan tawaran wang atau paksaan, bukanlah menukar agama (memeluk Islam) yang sebenarnya.

“Sebaliknya kamu menarik orang menyertai kamu kerana contoh bagus yang ditunjukkan dan cara hidup baik yang dipamerkan oleh kamu sendiri,” tambah beliau lagi.