Pengerusi JKKK harus beritahu rakyat peruntukan geran k’jaan

0

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri mahu pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang serta kampung menerangkan kepada masyarakat tentang geran kerajaan yang diagihkan oleh wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Menurutnya, penerangan tersebut amat penting agar mereka tahu dari mana datangnya geran kerajaan tersebut dan bagaimana untuk membelanjakan wang itu.

“Kami wakil rakyat mahu melihat setiap geran yang disalurkan digunakan dengan cara yang betul sekali gus memberi maanfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya pada Program Lan Berambeh bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dan Program MEMBARA ‘Kebudayaan Malaysia’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Batang Lupar di Rumah Mathew Japar, Gran A, Stumbin di sini kelmarin.

Katanya terdapat segelintir JKKK tidak menerangkan kepada penduduk tentang geran kerajaan disalurkan wakil rakyat dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

“Apabila pengerusi JKKK tidak menerangkan kepada mereka geran terbabit, maka timbul perasaan tidak puas hati mereka menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan ahli JKKK.

“Bukan setakat itu sahaja, wakil rakyat turut menjadi mangsa keadaan dan dituduh tidak menyalurkan peruntukan sebaliknya wakil rakyat menyalurkan peruntukan mereka setiap tahun kepada JKKK terlibat,” jelasnya.

Katanya geran seperti ini tidak harus dipendamkan sebaliknya perlu diketahui seluruh ahli JKKK supaya mereka tahu dan faham peruntukan tersebut.

Simoi turut menggesa JKKK di kawasannya agar menyediakan profil kampung masing-masing bermula tahun depan.

“Saya mahu anda menyediakan profil kampung masing-masing bermula tahun depan.

“Ini kerana profil kampung amat penting untuk rujukan wakil rakyat mahupun agensi-agensi kerajaan.

“Buat masa kini Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), JASA serta beberapa agensi kerajaan amat memerlukan profil untuk rujukan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Hamdan Katang, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Richard Tawan Sedu, Pegawai JASA Parlimen Batang Lupar Zaidel Ripin dan Pegawai JASA DUN Lingga Sulaiman Amut.

Pada majlis sama, Simoi mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada JKKK dan RM2,000 kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.

Program itu turut dimeriahkan dengan sukaneka, pertandingan mewarna, senamrobik, karaoke, poco-poco dan cabutan bertuah.