Penyeludupan diesel lumpuh

0

Oleh Rosemaria Buma //

PGA Miri rampas 15,000 liter diesel bersubsidi, dua bot nelayan Kelas C dalam serbuan di jeti LKIM Miri

LUMPUH: Tan (tengah) menunjukkan gambar bot nelayan yang dirampas kerana disyaki menyeludup diesel subsidi.

MIRI: Batalion 12 (BN12) Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri percaya dapat melumpuhkan satu sindiket penyeludupan diesel dengan merampas sejumlah 15,000 liter diesel bersubsidi dan dua bot nelayan Kelas C dalam serbuan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Miri di sini Jumaat lalu.

Pemangku Pegawai Pemerintah BN12 DSP Tan Hiap Seng berkata dalam serbuan sama, polis turut menangkap dua juragan warga Indonesia berusia 33 dan 48 tahun untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, rampasan tersebut dilakukan hasil risikan dan siasatan pihaknya sejak seminggu lalu selepas menerima aduan daripada orang awam.

Katanya bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota Bahagian Risik BN12 diketuai ASP Zawi Awang melakukan risikan dan siasatan sejak lebih seminggu lalu.

“Setelah mendapat bukti kukuh, pada jam 12 tengah hari 17 Oktober lalu, kami menyerbu dua bot nelayan sedang berlabuh di jeti LKIM Miri, Krokop 10 di sini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 4,000 liter diesel dipercayai diesel subsidi di bot pertama dan 15,000 liter lagi di bot kedua masing-masing disimpan di tempat penyimpanan ikan yang diubah suai menjadi tempat simpanan minyak diesel.

Menurut Tan, semasa pasukan risik mengadakan pemantauan, kedua-dua juragan terbabit sibuk mengepam minyak diesel ke dalam bot masing-masing.

“Ketika diperiksa dan diminta lesen vesel, dua juragan terbabit hanya mengemukakan lesen vesel fotostat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tidak terdapat sebarang peralatan menangkap ikan di kedua-dua bot berkenaan dan ini menunjukkan bahawa bot itu bukan digunakan untuk menangkap ikan di laut sebaliknya untuk menyeleweng diesel bersubsidi yang sepatutnya diberikan kepada golongan nelayan,” katanya.

Berikutan itu, kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Tan tidak menolak kegiatan menyeludup diesel itu dilakukan sindiket dengan modus operandi menggunakan kapal nelayan bagi mendapatkan subsidi diesel yang diberikan kerajaan.

“Sekarang modus operandi mereka menggunakan kapal nelayan mendapat diesel subsidi yang sepatutnya diberi kerajaan kepada nelayan namun diseleweng pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan,” katanya sambil memberitahu bahawa diesel subsidi ini dibeli dengan harga RM1.65 dari jeti LKIM dan dijual kepada pihak lain mengikut harga pasaran.

Sehubungan itu, BN12 meneruskan operasi serupa membanteras sebarang penyeludupan diesel, barang tidak bercukai dan sebagainya termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan di bawah bidang kuasa mereka.

Tan memberitahu, rampasan kali ini merupakan yang kedua dilakukan di kawasan Miri dan kelima di kawasan utara merangkumi Bintulu, Miri dan Limbang.