Ahli SABERKAS harus pertingkat tahap efisien diri dalam berpersatuan

0

TERIMA KASIH: Abdul Karim (dua kiri) menerima cenderamata daripada Abdullah sambil disaksikan yang lain di Miri semalam.

MIRI: Ahli Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) dituntut mempertingkat tahap efisien diri dalam berpersatuan.

Naib Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia adalah untuk memartabatkan persatuan berkenaan ke tahap lebih tinggi.

“Setiap ahli SABERKAS harus ada tanggungjawab untuk mengangkat martabat organisasi ke tahap lebih tinggi,” katanya pada Bengkel Pengurusan SABERKAS Cawangan Zon Utara di sini semalam.

Beliau berkata ini kerana sesebuah organisasi akan dinilai melalui kelebihan dan kecekapan ahli-ahlinya serta jawatankuasa yang dilantik memikul tanggungjawab.

Oleh itu, kepekaan ahli-ahli terhadap aktiviti persatuan harus tinggi demi memastikan organisasi berkenaan sentiasa bergerak aktif dan berjaya.

“Kita tidak mahu ada ahli-ahli yang tidak tahu langsung tentang apa-apa program mahupun laporan tahunan ketika dibentangkan pada mesyuarat tahunan,” jelasnya.

Bagi mengelakkan perkara tersebut, harus disemai rasa sebagai sebahagian daripada ahli persatuan yang bakal menjayakan persatuan.

Salah satu daripada medium mandatori bagi menjamin perkara tersebut adalah komunikasi yang baik di peringkat bawah ke atas dan sebaliknya.

Sebanyak sembilan cawangan terlibat pada bengkel itu dengan sekitar 100 orang mengambil bahagian.

Turut hadir Setiausaha Agung SABERKAS Negeri Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Penganjur SABERKAS Negeri Abdullah Saidol.