Belia harus daftar sebagai pengundi: Harden

0

PERUNTUKAN: Harden (kanan) menyampaikan peruntukan MRP kepada Thomas Ramba (kiri) pada majlis di Rumah Thomas Ramba, Brangan Ulu di Skrang kelmarin.

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis menyarankan para belia dan beliawanis yang berusia 21 tahun agar mendaftar diri sebagai peng-undi.

Menurutnya, ini penting sebagai menunaikan tanggungjawab dalam proses pembangunan negara pada masa akan datang.

Di samping itu, undi juga merupakan mandat diberikan rakyat kepada mana-mana parti politik di negara ini bagi membentuk kerajaan dan seterusnya melaksanakan projek pembangunan.

“Jadilah pengundi ketika diadakan pilihan raya demi menentukan hala tuju pembangunan negara,” katanya pada lawatan ke Rumah Thomas Ramba, Brangan Ulu di Skrang kelmarin.

Pada majlis itu, Harden mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Thomas Ramba.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada di sekolah bagi menimba ilmu.

“Ini berikutan atas gejala sosial, terdapat anak-anak mengikut rakan mereka ponteng sekolah dan pergi ke mana-mana lokasi dengan membawa pakaian simpanan.

“Angkara ini harus di-bendung dengan segera kerana khuatir anak-anak terjebak dengan gejala sosial teruk sehingga merugikan masa depan diri mereka dan negara,” katanya.