Tergantung pada alang siling bilik

0

TRAGIS: Ahli keluarga mengangkat mayat mangsa ke kenderaan polis untuk dihantar ke Hospital Miri.

MIRI: Seorang lelaki ditemui mati tergantung dipercayai membunuh diri dalam kejadian di sebuah rumah di Piasau Utara 3C di sini, malam kelmarin.

Ketika ditemui mangsa, 25, masih tergantung pada seutas tali yang diikat pada alang siling bilik tidurnya di tingkat atas rumah berkenaan.

Kematian mangsa hanya disedari sekitar jam 7.30 malam oleh ibunya yang baharu selesai menunaikan solat Maghrib.

Menurut sumber, sejurus selesai menunaikan solat, ibu terbabit pergi ke tingkat atas rumah untuk menjenguk mangsa di bilik tidurnya, setelah berasa curiga kerana tidak melihat kelibat anaknya sejak beberapa jam lalu.

Sebaik pintu bilik dikuak, alangkah terkejut ibunya apabila mendapati anaknya tergantung kaku di bahagian leher pada seutas tali yang diikat pada alang siling bilik.

Melihat keadaan itu, si ibu terus memanggil ahli-ahli keluarganya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Mereka segera menurunkan mangsa dan seterusnya menghubungi polis dan Hospital Miri untuk mendapatkan bantuan.

Sepasukan kakitangan hospital bergegas ke tempat kejadian mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk bedah siasat.