Ajal dahului niat ingin berubat

1

MAUT: Mayat mangsa terbujur kaku sementara menunggu dihantar ke Hospital Miri oleh ahli keluarga serta penduduk rumah panjang terbabit.

MIRI: Hasrat seorang suami untuk menghantar isteri yang sakit tenat berubat dengan seorang bomoh tidak kesampaian apabila isterinya itu terbunuh dalam kemalangan di sebatang jalan ladang berhampiran Ulu Suai di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Egnes Monica Atau, 48, berasal dari Rumah Muli, Sungai Sebungan, Sebauh, Bintulu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

Manakala empat yang lain terdiri daripada suami mangsa, Endau Nyanggau, 50, selaku pemandu, ibu mangsa dan dua ahli keluarga yang lain mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, lokasi kemalangan terletak hanya kurang satu kilometer dari Rumah Guntol, Suai yang hendak ditujui oleh mereka untuk mendapatkan khidmat seorang bomoh bagi mengubati penyakit mangsa mengikut cara kampung.

Menurut Endau, sebelum kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, mereka sedang dalam perjalanan dari Bintulu menuju rumah panjang terbabit yang terletak 12 kilometer dari Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu.

Sementara simpang masuk ke jalan ladang berkenaan terletak pada jarak 99 kilometer dari bandar raya Miri.

Bagaimanapun, katanya, ketika sedang melalui sebatang jalan tanah merah yang berbukit, tiba-tiba enjin kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipandunya mati menyebabkan kenderaan terbabit mengundur dipercayai akibat permukaan jalan yang licin memandangkan semasa kejadian hujan sedang turun.

Setelah mengundur, katanya, kenderaan terbabit gagal dikawal kerana jalan licin dan terus terjatuh ke sebelah kanan jalan dalam keadaan senget.

“Mujur ada penduduk rumah panjang terbabit datang membantu kami mengalihkan kenderaan untuk mengeluarkan isteri saya yang tersepit di tempat duduk belakang sebelah kanan. Sebaik dikeluarkan, saya dapati dia (isteri) sudah tidak bernyawa.

“Isteri saya memang sudah tenat iaitu kembang di seluruh badan. Justeru, kami ke sini walaupun terpaksa meredah perjalanan yang jauh bagi mendapatkan bomoh yang diharap dapat mengubati penyakitnya.

“Namun belum sempat berubat, dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Berikutan itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat, manakala kenderaan mangsa ditahan di Balai Polis Trafik Miri untuk siasatan lanjut.