Laddu simbol penyatuan masyarakat berbilang kaum

0

KUALA LUMPUR: Manisan tradisional India, laddu, menjadi pilihan utama yang memikat selera masyarakat berbilang kaum pada sambutan perayaan Deepavali, di HGH Convention Centre, Sentul, semalam.

Biarpun berbeza selera, namun rata-ratanya dilihat begitu menggemari laddu yang menjadi umpama simbol penyatu-an masyarakat, bersama menikmati manisan itu.

S. Kalyanee, 59, dari Bandar Baru Sentul berkata beliau gembira apabila masyarakat pelbagai bangsa bukan sahaja turut serta meraikan Deepavali namun tidak kekok menjamah makanan tradisi India.

“Sangat gembira melihat rakan-rakan Cina dan Melayu makan makanan tradisi India yang membuatkan kita rasa seperti sebuah keluarga besar,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Laddu merupakan manisan tradisi masyarakat India yang diperbuat daripada tepung, gula dan minyak sapi sebagai bahan utama.

Laddu sentiasa dijadikan hidangan utama masyarakat India dalam pelbagai majlis kerana dikatakan simbolik untuk kemakmuran dan kemanisan hidup.

Chan Yoong Moy, 65, juga dari Sentul berkata beliau menyukai laddu dan tidak melepaskan peluang mengunjungi rumah terbuka Deepavali setiap tahun.

“Kalau ada rumah terbuka, kawan-       kawan India selalu jemput, seronok kerana selain dapat berbual bersama, dapat juga makan makanan India,” katanya.

Bagi Faiz Ahmad, dari Ampang, 25, pula, beliau bukan sahaja menggemari manisan itu tetapi juga mahir membuatnya.

“Resipi laddu yang ringkas dan bahan-bahan yang senang didapati menyebabkan saya sekeluarga selalu membuatnya,” katanya. — Bernama