Masjid Muda Hashim juara badminton Maal Hijrah

0

KUCHING: Pasukan Masjid Darul Ihsan, Kampung Muda Hashim (Hijau) muncul juara Pertandingan Badminton Berpasukan Sempena Sambutan Maal Hijrah pada 14 hingga 19 Oktober lalu di Dewan Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak.

Mereka menewaskan Surau Hidayatul Rahman A, Kampung Gersik dengan 2-1 pada perlawanan akhir acara beregu yang berlangsung sengit.

Kemenangan itu memastikan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta piala pusingan dan piala iringan.

Manakala Surau Hidayatul Rahman A, Kampung Gersik meraih RM800 serta piala iringan.

Penyandang tempat ketiga, Surau Darul Hidayah B, Taman Sejoli pula menggondol RM500 dan piala iringan.

Surau Darul Hidayah A, Taman Sejoli menduduki tempat keempat tidak pulang dengan tangan kosong dengan meraih RM300.

Sebanyak 16 pasukan menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).

Pengurus Besar LAKMNS, Mohamad Sabry Othman menyampaikan hadiah kepada para pemenang.