Penganggur direman empat hari

0

Suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes ragut di Jalan Urat Mata

REMAN DILULUSKAN: Suspek (tengah) dikawal oleh anggota polis di kamar mahkamah.

KUCHING: Seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam beberapa kes ragut Jalan Urat Mata di sini ditahan reman selama empat hari untuk memban-tu siasatan polis.

Pendaftar Mahkamah Abdul Razak Senawi semalam membenarkan permohonan reman dikemukakan oleh pihak polis untuk menempatkan suspek dalam tahanan polis sehingga 26 Oktober.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang pada pagi Selasa hasil maklumat orang awam dan pengawasan polis.

Difahamkan, suspek bukan sahaja terlibat dalam beberapa kes ragut di kawasan tersebut, malah dalam jenayah lain.

Suspek turut didakwa terlibat dalam kes ragut rantai emas bernilai RM18,000 milik seorang penduduk di kawasan tersebut.

Seorang wartawan akhbar bahasa Cina yang sedang bertugas menemu bual penduduk berkaitan kes ragut dan kecurian yang begitu membimbangkan di kawasan itu turut menjadi mangsa apabila kameranya diragut.

Susulan kes-kes tersebut, penduduk kawasan itu menghantar petisyen kepada polis dan menggantung poster suspek di sepanjang jalan tersebut.