Projek besarkan jalan bandar Sri Aman lancar

0

SRI AMAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kini giat membesarkan jalan masuk ke bandar Sri Aman  fasa pertama dengan nilai RM1 juta.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata, kerja ini meliputi jarak sepanjang dua kilometer dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Menurut Harden lagi, bagi menjayakan projek ini sebanyak 130 batang pokok dari Jalan Hospital hingga ke bangunan Puspakom Sri Aman terpaksa  ditebang bagi memberi laluan kepada usaha menambah lebar jalan raya itu nanti.

Lebar jalan raya kini adalah 7.4 meter dan akan  bertambah menjadi 11.4 meter sekiranya bahagian sisi kiri dan kanan jalan raya itu ditambah dua meter nanti, ujar beliau.

“Pihaknya akan mengemuka-kan permohonan projek pelebaran jalan raya bagi peringkat fasa kedua kepada kerajaan dalam masa terdekat nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan ke tapak projek itu di sini, semalam.

Lantaran itu sekiranya permohonan ini menjadi kenyataan kelak ia akan mampu  mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kesesakan lalu lintas di bandar Sri Aman pada masa akan datang, katanya.

Selain itu kata Harden, pihak-nya akan mengemukakan semula projek pembinaan jalan raya dua hala sepanjang sembilan kilo-meter  kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri dengan nilai RM60 juta.

“Turut dikemukakan kepada kerajaan juga adalah cadangan bagi melebarkan jalan di kawasan Brayun ke Stamang dan ke Sabu, Sri Aman yang menelan kos seba-nyak RM10 juta,” kata Harden.

Dalam lawatan itu Harden turut mengumumkan bahawa JKR sedang melakukan kerja membaik pulih jalan raya rosak terutama di kawasan kerap kemalangan di Sri Aman.

Antaranya Bukit Begunan, Selepong, Klauh, Panggil, Sungai Dor, Entulang, Sungai Raya, Lepong Empeliau-San Demam, San Raba, Stuga, Jambatan Batang Lupar dan Sedarat, tambah beliau.

Secara keseluruhan panjang jalan raya yang bakal diperbaiki itu adalah 15.3 kilometer dan dijangka siap November ini, ujarnya.

Turut hadir pada lawatan itu Residen Bahagian Sri Aman Johnathan Lugoh, Jurutera Baha-gian JKR Sri Aman Cassidy Morris dan Penolong Jurutera Bahagiannya Mohd Noor Razali dan barisan ketua masyarakat kaum Cina Sri Aman.