600 penunggang motosikal kuasa tinggi bakal gegar Lawas

0

LAWAS: Dianggarkan seramai 600 penunggang membabitkan 900 motosikal berkuasa tinggi dari Kepulauan Borneo dan Semenanjung Malaysia bakal menggegarkan daerah Lawas pada Program Perhimpunan Motosikal Berkuasa Tinggi (LBW) 2014 pada 31 Oktober hingga 2 November.

Pengurus Residen Hotel Seri Malaysia (HSM) Lawas Mohd Amin Othman berkata LBW 2014 edisi kedua itu berjaya menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar.

Menurutnya, program itu bagi mengangkat industri pelancongan Lawas yang terkenal dengan produk ikan tahai ke tahap lebih tinggi.

“LBW bertujuan memperkenalkan Lawas kepada pihak luar serta memupuk minat penduduk dan orang luar kepada motosikal berkuasa tinggi.

“Program ini juga dapat memberi peluang kepada penduduk Lawas meningkatkan ekonomi dengan adanya acara sampingan Ekspo Niaga,” katanya pada mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan  terlibat di sini baru-baru ini.

Mohd Amin menjelaskan, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang LBW 2014 itu.

“Antaranya pertandingan karaoke peserta terlibat pada malam ‘welcoming dinner’ iaitu 31 Oktober nanti.

“Selain itu, aktiviti bermotosikal amal ke Kampung Punang Lawas yang bakal disertai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong pada 1 November ini,” jelasnya.

Aktiviti sampingan lain ialah majlis makan malam termasuk persembahan pentas, pencarian Miss LBW 2014, aktiviti amal dan persembahan artis terkenal tanah air, Aris Ariwatan.

“LBW juga tidak melupakan golongan yang memerlukan.

“Beberapa aktiviti amal turut diadakan khusus untuk golongan tersebut seperti acara lelongan topi keledar yang direka khas untuk LBW 2014,” ujarnya.

Beliau memberitahu, hasil daripada lelongan tersebut akan diserahkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan aktiviti menderma peralatan-peralatan sukan bernilai hampir RM3,000 kepada belia-belia di Kampung Punang pada aktiviti bermotosikal amal.

Beliau berharap LBW terus mendapat sokongan daripada Awang Tengah dan Henry serta agensi-agensi kerajaan dan swasta di sini.

Selain HSM Lawas sebagai penganjur utama, program itu turut mendapat kerjasama beberapa wakil agensi kerajaan dilantik seperti Pejabat Ahli Parlimen Lawas, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pejabat Daerah Lawas, Majlis Daerah Lawas, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penerangan dan Northern Sarawak Bikers Club (NSBC).