Beri kuasa polis tangkap pelajar merokok di luar sekolah: KGBS

0

SIBU: Kementerian Pendidikan diminta mengkaji semula peraturan sekolah supaya guru boleh mengambil tindakan terhadap pelajar yang merokok di luar kawasan sekolah.

Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) ketika menyuarakan pandangan  memberitahu, pada masa ini guru tidak dapat mengambil tindakan terhadap pelajar merokok luar kawasan sekolah.

“Halangan seperti ini menyebabkan pelajar tidak takut merokok di luar kawasan sekolah walaupun masih berpakaian seragam sekolah,” kata Presiden KGBS Ahmad Malie.

Beliau berkata demikian ketika memberi pandangan berhubung kajian yang dilakukan pada 2012, menyenarai Sarawak sebagai negeri yang mempunyai paling banyak perokok muda berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Menurut Ahmad, KGBS menggesa supaya polis diberi kuasa menangkap pelajar merokok secara terbuka seperti di kompleks beli-belah.

“KGBS percaya pendekatan seperti ini merupakan langkah menghalang pelajar merokok secara terbuka di luar kawasan sekolah,” katanya sambil menambah, KGBS memandang berat isu merokok di kalangan pelajar sekolah.

Dalam pada itu katanya, ibu bapa harus memantau pergerakan anak bagi mencegah mereka daripada berjinak-jinak dengan rokok.

Ahmad juga berharap orang ramai memandang serius isu ini serta memberi nasihat kepada pelajar terbabit.

Sementara menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan berkata, pelbagai program bagi memberi kesedaran kepada pelajar berhubung bahaya merokok, termasuk risiko penyakit kanser dan penyakit hati.

Beliau memberitahu, langkah lain diambil kementerian berkaitan termasuk menjalan program berkaitan pembangunan belia dan keluarga serta undang-undang berkaitan tembakau.