Kilang diminta tidak cemari alam sekitar: Halimah

0

ATASI PENCEMARAN: Halimah melihat topeng pernafasan yang dipamerkan di gerai pameran sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Negeri Sarawak dan Seminar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 di sebuah hotel terkemuka di Kuching. Turut kelihatan Ruslan (kiri).

JAS pastikan kilang patuhi SOP, jika gagal dikena tindakan penguatkuasaan atau diberi arahan tetap

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) serius dalam memastikan kilang-kilang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya tidak mencemari alam sekitar, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Datuk Halimah Hassan.

Justeru, beliau menegaskan kilang yang didapati tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan penguatkuasaan atau diberi arahan tetap, berdasarkan kepada kesalahan sama ada serius atau tidak.

“Tindakan undang-undang yang diambil adalah seperti kompaun, notis arahan, tindakan mahkamah dan perintah larangan.

“Berdasarkan laporan tahunan kami, memang terdapat bilangan kilang yang telah kami kompaun, diambil tindakan mahkamah serta dikeluarkan perintah larangan,” katanya ketika ditemu bual pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan merasmikan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Negeri Sarawak dan Seminar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 di sebuah hotel terkemuka di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Halimah berkata pangkalan data JAS Sarawak pada 2013 telah merekodkan sebanyak 3,475 punca pencemaran.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata 51.8 peratus adalah terdiri daripada premis yang bukan ditetapkan berasaskan industri seperti kilang papan, simen, makanan dan sebagainya.

Selain itu, katanya 44.8 peratus adalah terdiri daripada premis yang bukan ditetapkan bukan berasaskan industri seperti loji kumbahan, bengkel dan sebagainya, 1.5 peratus premis yang ditetapkan bagi buangan terjadual manakala baki 0.1 peratus merupakan premis yang ditetapkan bagi kilang getah.

“Daripada keseluruhan punca pencemaran, sebanyak 296 premis tertakluk kepada peraturan berkaitan udara bersih,” katanya.

Sehubungan itu, Halimah berkata bagi memastikan kualiti persekitaran terpelihara, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 telah diwartakan pada 5 Jun lalu menggantikan peraturan sebelumnya yang telah disediakan sejak 1978.

Peraturan tersebut, katanya mencakupi segala aspek pemantauan dan pematuhan yang perlu dipatuhi oleh setiap industri.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JAS Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam pelaksanaan program Rakan Alam Sekitar.

Upacara menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah JAS Sarawak Ruslan Mohamad dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.