Larian anjuran Kampung Jawa Sungai Menaul dapat sambutan

0

 Sumbangan Nor-Azlan Lamni //

SEJARAH telah tercipta di Kampung Jawa Sungai Menaul, Samarahan pada 16 September lepas apabila program Larian Hari Malaysia Menaul 2014 telah berlangsung dengan jayanya serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kampung tersebut.

Dalam ucapan peras­mian wakil Ketua Kaum merangkap penasihat pro­gram Salbiah Emon, beliau menyatakan larian tersebut diadakan bukan sahaja demi kesihatan tubuh badan pe­serta, malah yang paling utama memberikan peng­etahuan tentang wujudnya Malaysia pada tanggal 16 September 1963 hasil peng­gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan dengan itu generasi muda di kampung tersebut perlulah bersatu dan mempertahankan keamanan yang dinikmati daripada penggabungan berkenaan agar Malaysia terus maju dan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Selain acara utama iaitu larian yang dikhaskan un­tuk penduduk lelaki sahaja, program tersebut turut memuatkan acara sukan rak­yat untuk golongan wanita dan pertandingan mewarna untuk penyertaan kanak-kanak tadika, prasekolah dan murid-murid sekolah rendah tahap satu.

“Sambutan yang meng­galakkan daripada pen­duduk kampung terhadap program yang julung-ju­lung kalinya diadakan di kampung ini telah memberi idea kepada penganjur bagi meneruskan program pada masa akan datang atau dianjur dalam skala lebih besar seperti karnival dan terbuka untuk kampung-kampung di sekitar Ladang Samarahan,” kata Timbalan Ketua Kaum merangkap penyelaras program Samsul Alam Mohd Shamsuddin.

Sementara itu, program tersebut dijayakan hasil kerjasama J3K Sementara Kampung Jawa Sungai Menaul dengan pegawai dan JK Masjid Darul Sali­hin, Kampung Jawa Sungai Menaul.