Lelaki nyaris maut, kereta terbabas

0

KUCHING: Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Batu 8 Jalan Kuching-Serian di sini semalam.

Mangsa yang berusia 20-an semasa kejadian dikatakan memandu seorang diri ke arah Batu 9 sebelum keretanya hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi.

Ekoran kemalangan tersebut, mangsa dikatakan terperangkap di dalam kereta dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, gara-gara lokan seorang lelaki hampir hilang nyawa selepas terperangkap di sebuah hutan paya di Jalan Demak Laut di sini apabila air mula pasang.

Mangsa yang dikenali sebagai Jackson Sumbang, 25, berasal dari Simunjan semasa kejadian dikatakan pergi ke dalam hutan paya tersebut untuk mencari lokan sekitar jam 2 petang semalam.

Bagaimanapun, dia dikatakan terperangkap apabila air mula memenuhi kawasan paya berkenaan yang menyukarkannya mencari jalan keluar.

“Mujur semasa kejadian, dia ada membawa telefon bimbit dan terus menghubungi pihak bomba untuk bantuan,” kata jurucakap bomba.

Kecekapan dan kepantasan anggota dari Balai Bomba Petra Jaya bertindak sebaik menerima laporan tersebut kemudian berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira dua jam kemudian.

Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.