Malaysia dan Indonesia rangka MoU atasi jerebu

0

KUCHING: Malaysia dan Indonesia sedang merangka satu Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah kerjasama dalam mencegah serta mengawal pencemaran udara terutama melibatkan aktiviti pembakaran terbuka.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Datuk Halimah Hassan berkata kerjasama bilateral itu adalah khusus untuk mengatasi masalah jerebu rentas sempadan antara kedua-dua negara.

“Setakat ini cuaca terutama di Kalimantan, Sabah dan Sarawak agak kering dan banyak titik panas yang disebabkan oleh pembakaran terbuka didapati khususnya di Kalimantan.

“Sekiranya jerebu datang dari Indonesia, kita memerlukan kerjasama bilateral yang membolehkan kita meminta kerjasama daripada Kerajaan Indonesia untuk mengambil tindakan dari segi melakukan pemadaman dan mengawal kebakaran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemu bual selepas merasmikan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Negeri Sarawak dan Seminar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 di sebuah hotel terkemuka di sini.

Dalam pada itu, Halimah berkata kerajaan turut menjalin kerjasama dengan Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia bagi membincangkan tindakan-tindakan yang diambil ke atas pencemaran udara rentas sempadan.

Pada masa sama, katanya kerajaan juga terlibat dalam Perjanjian Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di peringkat ASEAN.

“Semua negara ASEAN telah menandatangani perjanjian ini melainkan Indonesia.

“Namun, Parlimen Indonesia baru-baru ini telah menyatakan bahawa mereka akan memperbetulkannya dan kita berharap Indonesia akan mengambil tindakan yang lebih proaktif dan dapat menyelesaikan isu pencemaran udara ini,” katanya.

Sementara mengulas mengenai punca jerebu dari dalam negara, Halimah berkata penguatkuasaan akan melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) untuk menjalankan pengawasan serta pemantauan pada musim panas.

“Sesiapa yang didapati melakukan pembakaran terbuka akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.