Pemain berbakat sudah dikenal pasti

0

KUCHING: Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) telah mengenal pasti beberapa pemain berbakat menerusi Pertandingan Remaja Suku Ketiga yang berlangsung pada 18-19 Oktober lalu.

Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Remaja PTBS dan hanya terbuka kepada ahli-ahlinya.

Exco Pembangunan PTBS, Nur Ashreil Abdullah berkata objektif utama kejohanan tersebut ialah untuk menilai tahap kemahiran ahli remaja PTBS.

“Kejohanan ini mempertandingkan tiga kategori iaitu bawah 12, 14 dan 18 tahun dan mengikut peraturan’ round robin’,” katanya.

“Ia juga menjadi landasan bagi kita memilih pemain yang akan bertanding pada Kejohanan Remaja Naim yang akan berlangsung di Bintulu pada 24-26 Oktober nanti.”

Tambah beliau, beberapa pemain berbakat telah dikenal pasti oleh pihaknya seperti Norhadzmi Khaider.

Hadiah telah disampaikan oleh Nur Ashriel bersama Ketua Jurulatih PTBS Ahmad Jumry Kassim.

Sementara itu, PTBS juga akan menganjurkan pertandingan terbuka kepada semua pemain tenis remaja di Sarawak.

Kejohanan tersebut menjanjikan hadiah lumayan buat para pemenang.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Ahmad Jumry (019-8881414) atau Nur Ashriel (019-8586996).