Pemilihan peserta Pertandingan Lagu Melayu Asli hari ini

0

MIRI: Pemilihan peserta lagu Melayu Asli untuk peringkat bahagian Miri akan diadakan pada hari ini (24 Oktober) di Pejabat Pembangunan Sosial Bahagian Miri (Pusat Belia).

Sesi pagi diadakan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, sesi petang bermula jam 2 hingga 5 petang dan sesi malam bermula jam 8 hingga 10 malam.

Pegawai Kebudayaan Seksyen Pembangunan Kebudayaan Bahagian Miri Desmond Sagoh memberitahu, pemilihan lima peserta terbaik ke pertandingan peringkat negeri  akan diadakan awal tahun depan.

Pemilihan dikendali Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak melaluli Seksyen Pembangunan Kebudayaan Sarawak.

“Penyertaan adalah percuma. Ia terbuka kepada lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas. Persembahan peserta akan diiringi secara langsung oleh pemuzik yang disedia penganjur,” jelasnya.

Lapan lagu di peringkat pemilihan ialah Sri Sarawak, Damak, Makan Sireh, Siti Payung, Timang Banjar, Mas Merah, Bentan Telani dan Seri Mersing.

Penganjur turut mengadakan pertandingan tarian peringkat bahagian Miri untuk memilih lima kumpulan terbaik ke pertandingan peringkat negeri pada awal tahun depan.

Pertandingan Tarian KPS Miri akan diadakan pada 8 November di Dewan Suarah bermula jam 7 malam.

Desmond memberitahu, setiap kumpulan hendaklah mempersembahkan tiga tarian iaitu tarian kreatif, tarian wajib (tarian etnik Orang Ulu) dan tarian kreasi baharu (rampaian Melayu).

Untuk peringkat Miri, juara akan menerima hadiah RM1,500, kedua RM1,000 dan ketiga RM500 berserta piala dan sijil.

“Saya menggesa penduduk di sini agar datang beramai-ramai untuk menyertai pemilihan dan pertandingan ini, “ jelasnya.