Real Madrid pastikan Liverpool terus menderita

0

Gol lewat Gibbs, Podolski berikan keceriaan pada ulang tahun kelahiran ke-65 Wenger di Brussels

PARIS, Perancis: Real Madrid menunjukkan ‘realiti sebenar’ dalam Liga Juara-Juara apabila menang 3-0 ketika Arsenal menjaringkan dua gol lewat untuk menang 2-1 di Anderlecht, sekali gus meraikan ulang tahun kelahiran ke-65 pengurusnya, Arsene Wenger, dengan bergaya Rabu lepas.

Di Anfield, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-70 beliau dalam kejohanan ini – kurang satu gol dari rekod 71 gol yang dipegang bekas legenda Real Madrid, Raul – dan gol ke-20 beliau musim ini dengan Karim Benzema menjaringkan dua lagi gol.

Real mengekalkan rekod bersih kemenangan dalam Kumpulan B, sama seperti apa yang dilakukan oleh Borussia Dortmund dalam Kumpulan D selepas menewaskan Galatasaray 4-0.

Satu lagi bukti kekuatan bola sepak Sepanyol dan Jerman terserlah apabila Atletico Madrid membelasah Malmo 5-0 sementara Bayer Leverkusen menewaskan Zenit Saint Petersburg 2-0.

“Ia adalah istimewa sekali, gol pertama saya di Anfield dan saya berasa sangat gembira,” kata Ronaldo.

“Kami tahu Anfield adalah satu tempat yang sukar tetapi kami bermain dengan hebat dalam 45 minit pertama dan selayaknya menang.”

Beliau menambah: “Saya tidak risau dengan rekod gol dalam Liga Juara-Juara. Saya tahu saya akan mengatasinya. Apa yang lebih menarik ialah pasukan ini sudah mengutip sembilan mata.”

Ronaldo tidak pernah menjaringkan gol di Anfield dalam lima penampilan bersama Manchester United tetapi memerlukan hanya 23 minit untuk menamatkan badi malang itu.

Selepas merampas bola dari luar kotak penalti, Ronaldo melorong bola kepada James Rodriguez sebelum berlari masuk ke dalam kotak penalti untuk menyempurnakan hantaran lintang Rodriguez dan menewaskan penjaga gol Simon Mignolet.

Apa yang memburukkan lagi keadaan buat Liverpool ialah penyerangnya, Mario Balotelli dikeluarkan dari skuad selepas rehat apabila bertukar jersi dengan pemain Real Madrid, Pepe, dalam terowong pemain dalam satu tindakan yang semakin menambah tekanan ke atas penyerang kontroversi itu.

“Ia sesuatu tidak berlaku di sini dan ia tidak seharusnya berlaku,” kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.

“Bagi saya, jika anda mahu melakukannya (bertukar jersi), ia boleh dilakukan pada akhir perlawanan, bukan di pertengahan. Saya akan menanganinya esok (Khamis).”

Pada perlawanan lain, Ludogorets Razgrad dari Bulgaria naik ke tangga kedua kumpulan selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Basel.

Di Brussels, gol lewat Kieran Gibbs dan Lukas Podolski membantu Arsenal mencipta kemenangan dramatik 2-1 di Anderlecht.

Andy Najar membuka jaringan buat juara bertahan liga Belgium itu pada minit ke-71 dan membayangkan satu kemenangan berharga sebelum Gibbs mengikat kedudukan dari satu hantaran lintang Calum Chambers ketika permainan berbaki seminit.

Podolski kemudian menjaringkan gol kemenangan dalam minit kecederaan untuk mengesahkan tiga mata penuh dan melegakan Wenger.

Arsenal kini berada kurang tiga mata di belakang Dortmund tetapi lima mata di hadapan pasukan di tangga ketiga dan berada di landasan untuk layak ke pusingan kedua.

Arsenal terpaksa menurunkan penjaga gol simpanan, Emiliano Martinez buat kali pertama pada kejohanan ini selepas penjaga gol utama, Wojciech Szczesny digantung perlawanan dan penggantinya, David Ospina, mengalami kecederaan.

“Mereka mempunyai peluang yang tidak disempurnakan dengan baik dan pengalaman kami jelas memberikan kelebihan. Ia sesuatu yang tidak dijangka tetapi selagi kami tidak bolos gol kedua, kami sekurang-kurangnya boleh memburu satu mata,” kata Wenger.

“Mungkin kami tidak selayaknya menang kerana kualiti permainan pasukan Anderlecht malam ini.”

Naib juara musim lepas, Atletico Madrid, semakin menghampiri kelayakan ke pusingan kedua dengan kemenangan selesa ke atas Malmo di Vicente Calderon untuk mendahului Kumpulan A.

Atletico bagaimanapun memerlukan masa selepas rehat untuk membuka jaringan tetapi sebaik sahaja Koke menjaringkan gol pertama, skuad kendalian Diego Simeone bertambah yakin untuk menambah jaringan.

Dua gol dalam tempoh dua minit oleh Mario Mandzukic – gol ke-19 beliau dalam 23 penampilan di Eropah – dan gol Antoine Griezmann menamatkan saingan Malmo sebelum Diego Godin dan Alessio Cerci melengkapkan jaringan.

Pendahulu kumpulan sebelum ini, Juventus, dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di Olympiakos menerusi gol Pajtim Kasami.

Dalam aksi Kumpulan C, Bayer Leverkusen melonjak ke tangga teratas apabila menewaskan Zenit St Petersburg 2-0 untuk kemenangan kedua berturut-turut.

Monaco seri tanpa jaringan dengan Benfica pada perlawanan ini, membolehkan Leverkusen bersendirian di tangga teratas walaupun tewas pada perlawanan pertama di Monaco. — AFP