Sesi perkongsian ‘Living in a Multi-religious Society: The US Experience’

0

KUCHING: Pusat Penerangan Islam (IIC) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menganjurkan sesi perkongsian bertajuk ‘Living in a Multi-religious Society: The US Experience’ di pusat itu hari ini.

Sesi perkongsian itu bakal menyaksikan perkongsian pengalaman, pemerhatian dan pandangan daripada wakil masyarakat Islam di Jabatan Negara AS Shaarik H.Zafar dan Koordinator Biro Program Maklumat Antarabangsa Macon Phillips.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, dijangka, 80 peserta di kalangan generasi muda dari latar belakang etnik berbeza menyertai sesi perkongsian itu.

IIC telah membina jaringan hubungan kerja yang baik dengan Kedutaan AS sejak 2009 menerusi ceramah awam, lawatan ilmuwan serta lawatan duta AS ke Malaysia pada 2013.

Malah IIC percaya, kerjasama dan sesi perkongsian bersama Zafar dan Phillips akan mendatangkan manfaat berguna kepada peserta terutama di kalangan generasi muda terutama perkongsian dalam kesamaan antara Sarawak dan AS yang memiliki rakyat pelbagai kaum.

Segala program dan aktiviti anjuran IIC dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha pusat ilmu itu mempromosi dan menghubungkan kesejagatan Islam selain untuk memberi pemahaman dan penghargaan Islam kepada seluruh rakyat di Sarawak.

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Muhamad Zakaria Ashmat atau Vivie Hana Voon di talian IIC 082-420798/799.