Transformasi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan berorientasi rakyat diiktiraf

0

KUCHING: Usaha mentransformasikan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan berorientasikan rakyat yang digerakkan oleh kerajaan negeri telah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa, baru-baru ini.

Antaranya Pelan Tindakan SCS 10-20 yang telah mendapat pengiktirafan FutureGov menerusi kategori Digital Inclusion, yang mengiktiraf bahawa inisiatif berkenaan terbaik dalam merapatkan jurang digital melalui penggunaan teknologi yang inovatif.

Simbolik penyerahan anugerah itu disampaikan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan dihadiri Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri Dr Sabariah Putit di lobi Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Anugerah FutureGov merupakan pengiktirafan tertinggi dalam perkhidmatan di Asia Pasifik dan sejumlah 50 badan kerajaan, agensi pendidikan dan agensi kesihatan diberi pengiktirafan atas kecemerlangan perkhidmatan, produktiviti, tadbir urus dan penggunaan teknologi.

Selain itu perkhidmatan awam Sarawak juga telah menerima Anugerah Cemerlang Pengurusan Aduan 2013 menerusi sistem pengurusan aduan iaitu Talikhidmat dan anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low pada 9 Oktober lepas.

Anugerah berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan kepada agensi yang berjaya menyelesaikan 100 peratus aduan yang dikemukakan kepada pentadbiran negeri seluruh Malaysia dan ia merupakan kejayaan tiga kali berturut-turut dicapai kerajaan negeri sejak 2011.

Pada hari yang sama iaitu 9 Oktober 2014, Jabatan Ketua Menteri telah menerima Anugerah Penarafan Lima Bintang daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sempena Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam 2014 di Subang Jaya.

Anugerah penarafan berkenaan merupakan kali kedua berturut-turut Jabatan Ketua Menteri menerimanya.

Anugerah dwitahunan itu menilai dan mengukur prestasi agensi-agensi kerajaan pada pelbagai peringkat, memberi pengiktirafan rasmi kepada agensi-agensi cemerlang, strategi dan amalan terbaik yang dilaksana dan menggalakkan persaingan sihat antara agensi dalam sektor awam.