9 maut dalam kemalangan di Kota Tinggi

0

KOTA TINGGI: Empat sekeluarga maut apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemala-ngan dengan dua kenderaan lain di KM46 Jalan Johor Baharu-Mersing di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Low Hang Seng berkata mangsa yang terbunuh adalah pemandu kereta Perodua Alza, Ruhaizad Said, 48, isterinya, Azliza Osman, 45, ibu mentuanya, Hainee Jamil, 70 serta anak lelakinya, Muhammad Zaki, 13.

“Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 10.15 pagi itu turut mengakibatkan pemandu kereta Satria Neo, Muammar Hakimmi Mas Bakri, 21, cedera parah manakala pemandu kereta Toyota Estima, Mad Serehan Ishak, 43, pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini.

Low berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Satria dari arah Kota Tinggi menuju ke Mersing itu bertembung dengan kereta Alza yang datang dari arah Mersing ke Kota Tinggi.

Keadaan itu menyebabkan kereta Perodua Alza terbabit remuk menyebabkan Ruhaizad yang juga penolong pengurus ladang dan tiga anggota keluarganya itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Semasa kejadian itu, kereta Toyota Estima itu cuma bergesel dengan Perodua Alza yang berada di depannya.

Menurut Low, mayat sekeluarga yang berasal dari Kota Kecil, di sini, dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Muammar Hakimmi yang berasal dari Taman Teratai, Johor Baharu pula turut dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan, katanya.

“Tempat kejadian adalah kawasan jalan lurus yang mempunyai garisan berkembar. Semasa kejadian, keadaan cuaca adalah baik dan keadaan lalu lintas juga tidak sibuk,” kata Low.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan, lima maut manakala seorang lagi cedera parah melibatkan dua buah kereta di KM61.2, Jalan Johor Baharu-Mersing, di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Low Hang Seng berkata mangsa yang terbunuh adalah pemandu dan penumpang kereta Perodua Kenari iaitu Rosmah Muda, 28, dan adiknya Fatimah, 24, serta pemandu dan penumpang Poton Wira iaitu Mohamad Shafie Pecek, 21, Mohamad Fayad Abdul Rahman, 21 dan Mohd Nizam Hassan, 29.

“Mangsa yang cedera parah pula adalah Nur Shafiqah, 14, yang merupakan adik kepada Rosmah dan Fatimah. Dia kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Low berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 10.40 malam apabila Proton Wira yang dinaiki Mohamad Shafie, Mohamad Fayad dan Mohd Nizam dari arah Kota Tinggi menghala ke Mersing itu berlanggar dengan Perodua Kenari yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, ketiga-tiga sahabat itu dalam perjalanan pulang ke FELDA Tenggaroh, di sini, selepas menjamu selera di bandar Kota Tinggi.

Tiga beradik perempuan yang beralamat di Jalan Haji Arifin, Endau, Mersing, itu pula dalam perjalanan bagi tugasan mengandam pasa-ngan pengantin di FELDA Air Tawar 3, di sini.

Katanya, berikutan perlanggaran itu Rosmah, Fatimah dan Mohamad Fayad mati di tempat kejadian manakala Mohamad Shafie dan Mohd Nizam meninggal dunia di HKT.

Kesemua mayat dibawa ke HKT untuk bedah siasat. — Bernama