Ahli perniagaan dirompak RM32,000

0

PECAH: Keadaan cermin kereta mangsa yang dipecahkan dua perompak sebelum melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM32,000.

KUCHING: Seorang ahli perniagaan yang baharu selesai berurusan di sebuah bank di Jalan Setia Raja di sini menjadi sasaran perompak apabila keretanya dipecahkan dan wang tunai RM32,000 dilarikan, semalam.

Terdahulu, wanita berusia 36 tahun itu mengeluarkan wang tersebut di bank berkenaan untuk kegunaan perniagaannya sekitar jam 11.30 pagi.

Difahamkan, ketika baharu memasuki kereta, mangsa didatangi seorang lelaki yang terus bertindak memecahkan cermin penumpang hadapan kereta Proton Wira milik mangsa dan menyambar beg tangannya.

“Mangsa yang terkejut dengan insiden itu tidak sempat menahan beg tangannya apabila suspek terus melarikan diri dari tempat kejadian menaiki sebuah motosikal yang ditunggangi oleh rakan subahatnya,” kata sumber.

Menurut sumber, selain wang tunai RM32,000, beg tangan mangsa turut mengandungi seunit telefon pintar serta beberapa dokumen peribadi dan perniagaan.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di balai polis berhampiran dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, seorang nelayan tampil membuat laporan polis mendakwa dibelasah rakannya yang menuduhnya mencuri tong gas sekitar jam 2 pagi semalam.

Mangsa berusia 25 tahun dari Kampung Santubong dikatakan didatangi rakannya yang dikenali sebagai Daniel yang terus menyerangnya menggunakan senjata dipercayai parang.

“Berlaku pergelutan di antara mereka menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya dan punca rakannya bertindak sedemikian ialah kerana mengesyaki mangsa mencuri tong gasnya,” kata sumber.

Selepas berjaya dileraikan oleh ahli keluarga mangsa, suspek terus beredar dan mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan.