Atlet OKU dapat durian runtuh

0

Oleh Harry Ilias

 

TERBAIK: Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin (lima kiri) bersama atlet-atlet OKU Sarawak sekembali mereka dari Sukan Paralimpiad ke-17 di Perlis Ogos lalu.

RM126,500 diluluskan untuk insentif atlet-atlet OKU menang pingat Paralimpiad 2014

KUCHING: Atlet-atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berjaya memenangi pingat pada temasya Sukan Paralimpiad XVII Perlis 2014 bakal menerima durian runtuh setelah kerajaan negeri meluluskan pembayaran insentif berjumlah keseluruhan RM126,500.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata pembayaran insentif tersebut telah diluluskan semalam setelah pihak kementerian beliau mengajukan kertas kerja kepada kerajaan negeri semasa mesyuarat kabinet kelmarin.

“Pembayaran insentif ini telah dipersetujui lima kabinet yang turut menyokong agar ia diteruskan setiap kali Sukan Paralimpiad diadakan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Fatimah berkata, ini adalah bagi menghargai sumbangan atlet-atlet OKU yang telah banyak membantu mengharumkan nama Sarawak pada kejohanan berprestij itu.

Menurutnya, pembayaran insentif dibuat mengikut pecahan kutipan pingat iaitu emas berjumlah RM66,000 (66 pingat), RM38,500 bagi perak (55 pingat) dan RM22,000 bagi gangsa (44 pingat).

Jumlah insentif bagi setiap kutipan pingat emas ditetapkan sebanyak RM1,000, perak RM700 dan gangsa RM500.

“Kita bercadang untuk mengadakan majlis penyerahan insentif tersebut pada penghujung tahun ini namun tarikh masih belum ditetapkan,” tambahnya.

Kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan buat kali ke-11 berturut-turut pada Sukan Paralimpiad ke-17 Perlis yang berlangsung pada 19-25 Ogos lalu setelah menggondol sejumlah 165 pingat (66 emas, 55 perak dan 44 gangsa).

Mereka bergelar juara pada 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2012.

Lebih manis apabila kontinjen Sarawak turut merangkul tiga anugerah iaitu Piala Jaguh Negeri, Piala Semangat Paralimpik dan Piala Gerakan Pembangunan Sukan Paralimpik.

Pada edisi kali ini, kontinjen Sarawak menghantar seramai 124 atlet dan 41 pegawai meliputi jurulatih dan pengiring.

Kontinjen negeri juga hanya menyertai enam daripada sembilan acara yang dipertandingkan iaitu olahraga, renang, angkat berat, badminton, pingpong dan bola baling.

Manakala acara yang tidak disertai bola keranjang kerusi roda, memanah kerusi roda dan tenis kerusi roda.