Jangan bimbang

0

Oleh Rusnan Mustafa//

 

KUCHING: Rakyat Sarawak tidak perlu bimbang dengan pengambilan 12,000 pekerja warga Bangladesh ke negeri ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata, pengambilan itu adalah khusus untuk sektor perladangan kelapa sawit atas permintaan pemaju sektor berkenaan dengan kemasukan mereka dijalankan secara berperingkat.

Malah, menurutnya, pekerja berkenaan hanya ditempatkan di ladang-ladang kelapa sawit sebagai buruh yang menjalankan pekerjaan kategori 3D iaitu ‘Kotor, Sukar dan Bahaya’ yang tidak mendapat sambutan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Kementerian Sumber Manusia sedia maklum dengan kebimbangan rakyat di negara ini khususnya Sarawak berkenaan pengambilan pekerja asing ke negara ini kerana sudah menjadi polisi kerajaan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

“Baru-baru ini diadakan Program Penempatan Pekerjaan AZAM Kerja 1Malaysia yang menawarkan ribuan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, namun sektor perladangan tidak mendapat sambutan.

“Justeru, rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang kerana hari ini (semalam) saya ingin jelaskan bahawa isu berkaitan pengambilan seramai 12,000 pekerja Bangladesh ke Sarawak bukanlah untuk pelbagai sektor, tetapi untuk sektor perladangan kelapa sawit atas permintaan dan keperluan segera oleh syarikat berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di balai ketibaan VVIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Selain itu, Riot memberitahu proses pengambilan pekerja Bangladesh adalah mengikut standard yang ditetapkan.

“Mereka perlu menjalani latihan terlebih dahulu di negara mereka dan sebelum pengambilan dibuat, kesemua pekerja Bangladesh ini akan ditapis mengikut standard ditetapkan supaya mereka bebas daripada aktiviti jenayah, penyakit dan sihat,” jelasnya.

Mengenai kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia A.K.M Atiqur Rahman yang sebelum ini memberitahu bahawa seramai 12,000 pekerja Bangladesh akan bekerja di negeri ini dalam pelbagai sektor, Riot berkata mungkin terdapat kekurangan maklumat tepat berkaitan perkara itu.

“Beliau (Atiqur) membuat kenyataan sebelum mesyuarat jawatankuasa kerja yang akan diadakan pada 4 November nanti berkaitan perkara ini, sebab itulah perkara sebegini berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Riot berkata jumlah pekerja asing yang paling ramai di negeri ini ialah Indonesia iaitu 147,251 orang, diikuti China (3,994), manakala Myammar dan Bangladesh hanya 234 orang.

Menyentuh mengenai kadar pengangguran di negeri ini, beliau menjelaskan di Sarawak hanya 2.3 peratus rakyat yang menganggur.

“Kalau mengikut standard pengangguran antarabangsa jika kadarnya di bawah empat peratus, maka rakyat negara itu dianggap semuanya bekerja,” tegasnya sambil menambah sudah menjadi lumrah terdapatnya pengangguran di setiap negara.