Konvokesyen ke-18 UNIMAS bakal catat sejarah baharu

0

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bakal mencatat sejarah baharu pada Majlis Konvokesyen Ke-18 universiti itu yang berlangsung dari 1 hingga 3 November ini.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, buat julung kalinya, graduan pertama jurusan Sarjana Sains Pembelajaran akan menyertai majlis graduasi tersebut.

“Jurusan Sarjana Sains Pembelajaran merupakan program pertama di Malaysia dan ia juga program baharu di sini (UNIMAS).

“Seramai 27 graduan pertama jurusan itu akan menerima sarjana mereka pada sesi graduasi tahun ini dan ia merupakan sejarah baharu buat UNIMAS,” katanya.

Selain itu, jelas Kadim, pelbagai aktiviti semasa festival konvokesyen turut diadakan dari 26 Oktober hingga 3 November ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media PraKonvokesyen Ke-18 UNIMAS di Bilik Nilam, DeTAR Putra UNIMAS Kota Samarahan, semalam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, aktiviti yang diadakan sepanjang festival konvokesyen kali ini dikurangkan berbanding tahun sebelumnya bagi menghormati insiden pesawat MH17 dan MH370.

“Tahun ini kami tidak mengadakan acara dan aktiviti yang terlalu menghiburkan kerana kita masih lagi berduka selepas insiden pesawat MH17 dan MH370.

“Pada masa sama, acara yang ditampilkan pastinya seimbang seperti program kerohanian seperti ‘UNIMAS Berselawat’ selain menampilkan jualan pesta ria yang merupakan penyumbang pendapatan kepada UNIMAS,” katanya.

Menurutnya lagi, menerusi festival itu, universiti masih mengekalkan matlamatnya untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan kampus bukan sahaja menikmati persekitaran, bahkan melihat perniagaan yang dijalankan sendiri di kawasan universiti.

Majlis Konvokesyen Ke-18 UNIMAS bakal menyaksikan seramai 3,240 graduan menerima ijazah merangkumi pelbagai peringkat pengajian seperti ijazah doktor falsafah, sarjana dan sarjana muda.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,016 graduan adalah dari prasiswazah manakala 224 pascasiswazah.