Langkah pastikan subsidi untuk golongan layak

0

Oleh Siti Aisyah Ramli

 

KUCHING: Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru ini memberi impak besar kepada penduduk luar bandar khususnya kerana ia juga mengakibatkan kenaikan harga barangan runcit yang lain, akui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol.

Beliau berkata, selaku wakil rakyat di kawasan luar ban-dar, beliau berasa perlu bertanggungjawab menyuarakan keresahan yang membe-lenggu penduduk di kawasan pentadbirannya dan kawasan luar bandar lain di negeri ini berhubung kenaikan itu.

Beliau mengulas perkara itu sebagai reaksi kepada laporan mengenai pelaksanaan harga jualan petrol RON95 mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan bagi golongan berpendapatan tinggi.

Abdullah berkata, pelaksanaan tersebut adalah wajar selain menyifatkan ia merupakan sebahagian daripada tindakan kerajaan dalam memastikan subsidi hanya untuk dinikmati oleh golongan yang layak sahaja.

“Kenaikan petrol dan diesel baru-baru ini sangat memberi kesan kepada penduduk luar bandar kerana ekoran kenaikan itu, harga barangan lain (runcit) juga meningkat disebabkan mengambil kira faktor peng-angkutan dan sebagainya.

“Kami tidak mahu golongan kaya terus menikmati subsidi setara dengan golongan berpendapatan sederhana dan rendah dan saya berharap kerajaan akan mengambil langkah sewa-jarnya untuk mengurangkan impak ini ke atas penduduk pedalaman,” katanya.

Tambah Abdullah yang juga merupakan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, beliau berharap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem akan mengumumkan peruntukan bajet yang selari dengan keperluan yang diperlukan penduduk luar bandar pada persidangan Dewan Unda-ngan Negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Portal Rasmi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, di sini semalam.

Abdullah menambah, beliau juga menyambut baik usaha kerajaan dalam pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di kawasan luar bandar yang disifatkan amat membantu golongan sasar di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pelaksanaan harga jualan itu ke atas golongan berpendapatan tinggi merupakan cerminan usaha kerajaan untuk memastikan hak golongan berpendapatan sederhana dan rendah terbela.

“Golongan yang mampu perlu membayar jumlah yang dikenakan kepada mereka manakala bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah pula, mereka hanya perlu membayar harga yang sesuai dengan tahap pen- dapatan mereka.

“Kerajaan pastinya mempunyai rasional dan formula dalam pelaksanaan ini dan lantaran itu juga, kerajaan sedang menuju ke arah dalam memastikan golongan sasar menerima apa yang sepatutnya mereka terima,” jelasnya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mendedahkan, golongan berpendapatan tinggi akan membayar harga RON95 mengikut harga pasaran manakala golongan berpendapatan sederhana dan rendah pula akan terus menikmatinya pada harga subsidi bermula Jun 2015.

Harga RON95 ketika ini ialah RM2.30 seliter.