KUCHING: Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan berjaya memperdayakan pekerja sebuah pusat refleksologi di Jalan Mendu di sini sebelum merompaknya malam kelmarin.
Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 10 malam, apabila suspek dipercayai berusia 20-an masuk ke premis berkenaan dan berpura-pura bertanyakan pakej yang ditawarkan.
Selepas beberapa minit bercakap dengan seorang pekerja di kaunter premis tersebut, suspek dikatakan bersetuju dengan pakej yang ditawar kepadanya dan terus menghulurkan RM100 kepada pekerja terbabit.
“Bagaimanapun, ketika pekerja lelaki terbabit menghubungi rakan sekerjanya yang lain untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut, suspek tiba-tiba meluru ke dalam kaunter dan mengacukan pisau.
“Dia (mangsa) tidak berani melawan kerana suspek mengugut akan mencederakannya menyebabkan dia hanya membiarkan suspek mengambil wang tunai yang terdapat di kaunter tersebut.
“Suspek kemudian beredar dari premis berkenaan dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira,” kata sumber.
Difahamkan, mangsa mulanya mengesyaki suspek adalah warga asing namun terlihat sekeping kad menyerupai MyKad di dalam dompet mangsa.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, suspek dilihat dua kali datang ke premis itu sebelum melakukan rompakan tersebut.
Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh pemilik premis berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.