Mayat nelayan dijumpai terapung di Teluk Bahang

0

GEORGE TOWN: Mayat seorang nelayan yang dilapor hilang ketika menangkap ikan di perairan Muka Head, Tanjong Tokong Isnin lepas ditemui terapung di perairan Teluk Bahang dekat sini, semalam.

Mayat lelaki warga Indonesia yang berstatus penduduk tetap itu dikenali sebagai Paiman Sulaiman, 60, dijumpai sekumpulan nelayan jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian pada 6 petang Isnin lepas, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam laut selepas kakinya tersangkut pada pukat.

“Mangsa ketika itu sedang menarik keluar pukat dan terus hilang dihanyut arus selepas terjatuh,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut, katanya. — Bernama