MH17: KPWKM anjur 58 sesi kaunseling, 64 sesi psikologi, 34 sesi lawatan

0

PUTRAJAYA: Sebanyak 58 sesi bimbingan dan kaunseling dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terhadap 27 keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sebanyak 64 sesi sokongan psikologi pula diberikan kepada 31 keluarga dan 34 sesi lawatan diatur ke rumah 15 keluarga mangsa.

“Bentuk bantuan seperti ini diteruskan selagi ada keperluan dan permintaan daripada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena 100 hari tragedi MH17 semalam.

Sebanyak 49 kaunselor di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat terlibat dalam memberikan khidmat bimbingan dan kaunseling kepada keluarga mangsa, katanya.

“Kerajaan Malaysia dengan penuh keprihatinan berusaha sebaik mungkin membantu kesemua anggota keluarga mangsa dalam segala aspek bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Rohani berkata pihak kementerian turut membantu anggota keluarga dengan merujuk mereka kepada agensi-agensi berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Imigresen.

Katanya pihak kementerian bersimpati kepada anggota keluarga mangsa tragedi MH17 atas kehilangan orang tersayang dan tidak akan putus memberi sokongan berterusan.

“Tragedi MH17 akan sentiasa dalam ingatan dan sama-sama kita iringkan doa kepada mangsa yang terlibat,” katanya.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Apa yang berlaku sangat tidak berperikemanusiaan dan amat sukar untuk diterima. Diharapkan dengan kesabaran dan kecekalan yang tinggi mampu untuk kita berdepan dengan situasi ini,” tambahnya.

Pesawat MH17 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Amsterdam pada 17 Julai lepas dipercayai ditembak jatuh ketika berada di ruang udara Ukraine hingga meragut 298 nyawa penumpang dan anak kapal.

Kesemua mangsa warganegara Malaysia telah pun dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah air dalam enam kumpulan bermula 22 Ogos 2014 kecuali Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusuma yang masih belum dijumpai. — Bernama