Naik taraf jalan siap dua minggu

0

SIBU: Kerja menaik taraf dan meninggikan jalan raya selepas bulatan Jalan Aman menuju ke Jalan Upper Lanang di sini yang sering mengalami masalah banjir dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Andrew Wong kerja-kerja meratakan jalan sehingga dua kaki tinggi sepanjang 200 meter di kedua-dua bahagian jalan tersebut bermula beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengkaji masalah tersebut sejak selepas Gawai pada Jun lalu.

“Kerja menaik taraf ini menelan kos kira-kira RM350,000. Jadi, kita sudah menguruskannya dan kini dalam proses menyelesaikan masalah ini yang telah lama berlarutan,” katanya semasa melawat projek itu di sini semalam.

Beliau berharap selepas kerja menaik taraf, para pengguna jalan raya melalui jalan tersebut akan berpuas hati dengan keadaan jalan raya yang telah dibaik pulih.

“Saya berharap orang ramai dapat melihat ini cara baharu MPS memberi respons atas aduan masyarakat serta keprihatinan kami kepada penduduk Sibu,” katanya.

Menurutnya, sekitar November hingga Disember tahun ini lebih banyak kerja menaik taraf jalan raya sekitar bandar ini dilakukan setelah mendapat peruntukan.