Patah tulang rusuk dibelasah senior

0

BALIK PULAU: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di sini patah tulang rusuk dipercayai dibelasah lapan pelajar tingkatan empat di bilik asramanya, Rabu lepas.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian antara jam 11.45 malam dan 1 pagi itu, mangsa turut dicederakan menggunakan seterika panas di kedua-dua belah bahu selain tubuhnya dipijak kumpulan pelajar terbabit.

“Warden hanya mengetahui kejadian itu keesokan harinya dan mangsa dihantar pulang menaiki kapal terbang dan setibanya di Lapangan Terbang Subang, bapanya terus membawanya ke hospital di Klang, Selangor untuk pemeriksaan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata mangsa kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang berikutan serpihan tulang rusuk yang patah itu mengenai jantung mangsa.

Katanya kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati apabila mangsa bersama seorang rakannya yang merupakan pelajar tingkatan tiga menggeledah bilik pelajar tingkatan empat berkenaan kerana mencari kasut rakannya yang hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu daripada ibu mangsa semalam.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti lapan pelajar terbabit dan sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut dan pelajar berkenaan akan ditahan untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat. — Bernama