Penduduk tidak puas hati, dakwa sampah dibuang tepi jalan masuk tapak pelupusan

0

SEKATAN: Sebahagian penduduk kampung yang tidak berpuas hati dengan kontraktor PBT membina sekatan jalan.

DALAT: Sikap kontraktor yang didakwa membuang sampah di tepi jalan masuk ke tapak pelupusan sampah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di situ membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Ud.

Pengerusi JKKK Kampung Sungai Ud Juhan Ilul yang mendakwa demikian berkata lebih mengecewakan ia dibuang sehingga menghalang laluan masuk ke tanah milik perseorangan.

Perasaan itu memuncak pada malam Khamis lepas apabila kira-kira 300 penduduk kampung tersebut membina sekatan jalan bagi menghalang lori kontraktor memungut sampah memasuki kawasan tapak pelupusan.

Beliau berkata, mereka juga kurang puas hati apabila tapak pelupusan sampah itu yang terletak di hujung kampung didakwa digunakan bagi melupuskan bahan buangan dari Daerah Mukah, kira-kira 30 kilometer dari sini.

Beliau mendakwa susulan itu tapak cepat penuh sehingga menyebabkan kontraktor membuang sampah di tepi jalan masuk ke situ.

“Apa yang lebih membimbangkan kami sebagai penduduk kampung berdekatan tapak pelupusan ialah soal kesihatan kami. Jika sampah terlampau banyak dan dibuang sehingga memasuki kawasan perparitan air kotor dan penuh bakteria, ia akan mengalir ke dalam sungai.

“Pernah sekali dahulu kampung Sungai Ud ‘diserang’ lalat yang datang dari kawasan pelupusan sampah ini. Kami tidak mahu sampah dari Mukah dilonggokkan di sini sehingga tidak dapat ditampung tapak pelupusan ini yang seterusnya dikhuatiri menjejaskan kesihatan kami penduduk kampung,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo.

Menurut Juhan, pihaknya pernah mengadu masalah dan kebimbangan itu kepada PBT tetapi ia masih berlaku.

“Ini adalah saluran yang kami terpaksa ambil agar pihak tertentu menghentikan sikap tidak pedulikan aduan penduduk kampung.

“Saya tegaskan di sini tindakan sebegini bukan bererti kami membangkang agensi kerajaan, tetapi kami mengutamakan soal kesihatan orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap PBT itu berkata sampah cuma dibuang dalam kawasan tanah tapak pelupusan seluas tujuh ekar itu.

“Meskipun dibuang di tepi jalan masuk, ia masih dalam kawasan tapak pelupusan sampah yang sah,” tegasnya ketika dihubungi.

Mengenai dakwaan sampah dari Daerah Mukah dilupuskan di tapak pelupusan itu, beliau berkata tindakan itu diambil ekoran tapak pelupusan di Mukah telah ditutup.