Perpaduan, toleransi harta bernilai

0

Oleh Rusnan Mustafa

 

KUCHING: Perpaduan dan toleransi yang ada pada rakyat di negara ini meskipun mempunyai pelbagai kaum dan agama merupakan satu harta bernilai yang perlu dipelihara dengan baik.

Wakil Khas Komuniti Islam Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Shaarik H. Zafar berkata, beliau kagum dengan nilai perpaduan dan toleransi rakyat di negara ini yang perlu dicontohi oleh masyarakat dunia.

“Tujuan saya datang ke sini (Sarawak) kerana ingin melihat perpaduan dan toleransi rakyatnya di mana masyarakat Islam dan masyarakat lain dapat tinggal bersama dalam keadaan aman serta bertolak ansur.

“Inilah mesej yang saya akan bawa pulang (ke AS), Malaysia mempunyai rakyat yang ada nilai hormat antara satu sama lain, rakyat berbilang kaum tinggal bersama dalam toleransi yang amat bernilai kepada masyarakat dunia dan perlu mempraktikkan amalan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bicara ‘Hidup Dalam Komuniti Pelbagai Agama: Pengalaman AS’ di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, semalam.

“Apabila rakyat dapat bekerjasama dan hidup bersama, itu memberi satu kekuatan kepada masyarakatnya dan negara, Malaysia mempunyainya, inilah harta yang paling bernilai yang ada pada Malaysia,” tambahnya.

Ditanya tindakan sesetengah pihak yang cuba memisah dan hidup dalam keadaan berpuak-puak, Shaarik memberitahu nilai kemanusiaan penting dalam masyarakat agar dapat hidup secara aman dan bantu membantu.

Program anjuran IIC dengan kerjasama Kedutaan AS itu semalam disertai kira-kira 30 belia daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Sementara itu, Law King Ing, antara peserta yang mengikuti perkongsian ilmu itu berkata, program berkenaan platform untuk mengenali dan memahami suasana kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama yang ada khasnya di negeri ini dan amnya di Malaysia.

“Saya menyambut baik program seperti ini kerana kita dapat berkongsi pengalaman bagaimana kehidupan rakyat pelbagai kaum di sini dengan pihak AS,” ujarnya.

Turut sama menjayakan program itu semalam, Penyelaras Biro Program Maklumat Antarabangsa Macon Philips.