Pusat akuatik baharu Sarawak dijangka siap mengikut jadual

0

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS), Dr Ong Kong Swee memberi jaminan pusat akuatik baharu terletak bersebelahan Stadium Negeri dijangka siap dibina mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menurut Ong, setakat ini hampir 40 peratus kompleks akuatik bernilai RM160 juta itu telah siap dibina berdasarkan laporan yang diperolehinya setiap bulan daripada kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pembinaan pusat akuatik ini berjalan dengan lancar dan saya yakin ia mampu disiapkan mengikut jadual pada Oktober tahun depan.

“Saya sentiasa memantau perkembangan semasa pembinaan pusat akuatik ini bagi memastikan tiada kelewatan berlaku,” katanya ketika ditemui di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) semalam.

Justeru, Ong berharap penjelasannya itu dapat meredakan kebimbangan yang disuarakan beberapa pihak berhubung kemungkinan pusat akuatik itu tidak dapat disiapkan sebelum SUKMA 2016 nanti.

“Sudah tentu kita mahu siap mengikut jadual kerana Sarawak akan menjadi tuan rumah SUKMA 2016. Namun, kita juga perlu memastikan pembinaan kompleks tersebut mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Perlis semasa SUKMA lalu berlaku di sini. Tambahan, pusat akuatik ini akan menjadi venue Sukan SEA 2017 dan kita perlu memastikan kualitinya setaraf dengan Olimpik,” tambahnya.

Katanya, pegawai teknikal ASUM akan datang memeriksa pusat akuatik itu bagi memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan.

Ong menambah, sebaik siap nanti pusat itu juga akan menempatkan pejabat rasmi PSNS termasuk Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) namun ia masih dalam cadangan.

Selain itu, pihaknya juga bercadang untuk melengkapkan kompleks tersebut dengan kuarters dan fasiliti lain bagi memudahkan atlet luar yang datang bertanding.

“Visi saya ialah untuk menjadikan Sarawak venue kejohanan sukan bertaraf antarabangsa kerana ia boleh merancakkan program pembangunan sukan dan sektor pelancongan negeri.

“Namun, untuk mencapai sasaran tersebut kita perlu memastikan fasiliti sukan sedia ada memenuhi standard piawaian antarabangsa untuk menarik minat atlet dari luar bertanding di sini,” katanya.

Sarawak sedang giat membina dan menaiktaraf pelbagai fasiliti sukan sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2016 yang dijangka berlangsung di beberapa bandar terpilih.

Selain pusat akuatik, kerajaan negeri telah siap membina padang hoki dan padang bola sepak rumput tiruan baharu yang terletak berhampiran Stadium Negeri.