Rawatan Islam menjadi pilihan masyarakat majmuk

0

SIBU: Rawatan Islam kini menjadi pilihan bukan sahaja di kalangan umat Islam sendiri, tetapi juga seluruh lapisan masyarakat majmuk di bandar ini.

Malah, kaedah rawatan itu mendapat sambutan pelancong asing yang datang ke negeri ini terutamanya dari Negara Brunei Darussalam ekoran keberkesanan merawat penyakit rohani mahupun jasmani.

Pengasas Pusat Terapi Nur Hikmah Ilahi, Mualij Bojeng Yunus berkata pusat terapi itu di Taman Indah, Jalan Teku di sini sering dikunjungi pesakit pelbagai latar belakang agama dan bangsa yang mahu mendapatkan rawatan.

“Syukur sekarang setiap kali sesi rawatan lebih 30 pesakit datang, malah ada kalangan pesakit terdiri masyarakat bukan beragama Islam mencuba kaedah cara Islam,” katanya ditemui di sini semalam.

Pusat rawatan itu dibuka setiap Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad, 10 pagi hingga 10 malam, Jumaat (2 petang hingga 10 malam) Isnin dan Khamis khusus untuk berbekam sahaja (10 pagi hingga 4 petang).

Pada masa sama, Mualij berkata masyarakat di sini mula faham tentang perubatan mengikut kaedah Islam dan rata-rata pesakit mendapatkan rawatan berpuas hati dengan perkhidmatannya.

Selain itu, Mualij turut mengingatkan masyarakat Islam agar tidak tersalah pilih atau tertipu dengan bomoh atau dukun untuk mendapatkan rawatan jasmani dan rohani.

“Ada kalangan bomoh atau dukun mengaku diri mereka bukan bomoh kerana menggunakan bacaan ayat al-Quran semasa merawat pesakit.

“Pada bacaan awalnya kita mendengar ayat al-Quran dibacanya tetapi di hujung-hujung kita tidak lagi mendengar apa dibaca dan kemungkinan apa yang dibacanya pada penghujung itu adalah jampi serapah atau mantera kerana bacaan awal hanyalah untuk mengaburi mata masyarakat,” katanya.

Beliau memberitahu, untuk mengenali pengamal perubatan itu bomoh atau tidak kebiasaannya mereka menggunakan jampi-jampi atau bahasa yang tidak difahami untuk memuja jin dan syaitan sebagai penolong dalam membantu proses rawatan.

Menurutnya, bomoh dan dukun juga meletakkan pantang larang tertentu selain memberi tangkal dan azimat kepada pesakit mereka.

“Sekiranya masyarakat Islam menggunakan khidmat bomoh dan meletakkan kepercayaan kepada tangkal itu maka kita boleh syirik yang merupakan satu dosa besar,” jelasnya.

Mengenai rawatan Islam ditawarkan di pusat itu, Mualij berkata terdapat tiga tahap rawatan perlu dijalani setiap pesakit.

Tahap pertama, pesakit perlu mempersiap diri dirawat, ikhlas kerana Allah SWT dan bukan dipaksa, mengeluarkan dan membakar tangkal atau azimat serta wafak sebelum dibuang ke sungai dan penjelasan kepada pesakit tentang kaedah rawatan itu.

Tahap kedua, proses rawatan indzar (peringatan) untuk jin yang mengganggu dan berada dalam tubuh pesakit sebelum bacaan ayat al-Quran dan doa dibaca di telinga dengan tartil sehingga didengar pesakit.

Tahap ketiga selesai rawatan, pesakit beragama Islam diminta bertawakal kepada Allah SWT, menjaga solat, mentaati ibu bapa, menjaga aurat dan tidak berlaku syirik kepada Allah.

Pusat Terapi Nur Hikmah Ilahi berlandaskan syarak dengan cara pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa perlindungan bersumber hadis Rasulullah SAW disepakati ulama.

“Tujuan kami adalah memperkenal dan mendedahkan kepada masyarakat Islam tentang rawatan Qurani yang diamalkan oleh Rasulullah dalam merawat penyakit rohani dan jasmani serta gangguan jin dan syaitan,” katanya.

Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Terapi Nur Hikmah Ilahi di talian 016-8745875 atau layari laman sesawang http://nurhikmahilahi.weebly.com.