RON75: Harga pasaran dapat reaksi bercampur

0

KUCHING: Langkah kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi petrol RON95 dengan mengenakan harga pasaran mulai Jun tahun hadapan bagi golongan berpendapatan tinggi perlu diteliti semula.

Setiausaha CUEPACS Sarawak Ahmad Malie berkata, pelaksanaan langkah itu pastinya akan memberi kesan negetif kepada golongan berpendapatan pertengahan.

“Apabila subsidi petrol RON95 ini dikurangkan dengan istilah rasionalisasi subsidi, CS (CUEPACS Sarawak) melihat ia menjadi punca meningkatnya perbelanjaan kos sara hidup para penjawat awam khususnya bagi mereka yang berpendapatan pertengahan dan tinggi.

“Tujuan rasionalisasi subsidi ini kalau dilihat dari satu sudut memang ada baiknya tetapi kalau kita lihat pula dari sudut yang lain sesungguhnya ada kumpulan yang terkesan dengan tindakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semalam.

Ahmad berkata, seperti golongan yang berpendapatan pertengahan yang tidak layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sudah pastinya mengalami peningkatan kos sara hidup yang mendadak.

“Apa akan terjadi kepada mereka yang berpendapatan tinggi dan pertengahan yang tidak layak menerima BR1M, sudah pasti kos sara hidup mereka meningkat.

“Oleh yang demikian, CS (CUEPACS Sarawak) menggesa pihak kerajaan agar mencari jalan alternatif untuk membantu rakyat khususnya para penjawat awam yang tidak layak menerima BR1M yang akan terkesan dari segi peningkatan kos sara hidup setelah pelaksanan rasionalisasi subsidi petrol RON95 ini,” tegasnya.

Beliau memberitahu sekiranya isu itu tidak ditangani dengan serius, dikhuatiri ia akan menimbulkan isu sosial yang lain pula.

Sementara itu, Setiausaha Agung SHEDA Sim Kiang Chok memberitahu beliau menyambut baik langkah itu bagi membantu golongan sasar di negara ini.

“Kita belum tahu bagaimana pelaksanaannya dan untuk itu saya berharap kerajaan dapat merancang sistem yang adil dalam menjayakan langkah tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan golongan berpendapatan tinggi sudah pastinya akan meminta kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan atau cukai kereta bagi meringankan peningkatan kos hidup mereka.

Sementara itu, seorang pegawai kanan sebuah syarikat besar di sini yang mahu dikenali sebagai Stanley tidak menyokong pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi RON95 itu.

“Pada prinsipnya untuk membantu golongan sasar adalah baik tetapi dari segi lain ia memberi kesan kepada golongan berpendapatan tinggi yang selama ini menyumbang kepada pendapatan negara menerusi cukai pendapatan.

“Sekiranya langkah ini adalah untuk membantu dan membangunkan golongan sasar maka ia adalah tidak tepat,” tegasnya.