Taska 1Malaysia Qaseh Laila 1 adakan latihan kecemasan kebakaran

0

SELAMAT: Kakitangan Tadika 1Malaysia Qaseh Laila 1 membawa masuk kanak-kanak ke dalam pusat asuhan setelah keadaan disahkan selamat.

KUCHING: Taska 1Malaysia Qaseh Laila 1 yang terletak di Jalan Ong Tiang Swee di sini semalam mengadakan latihan kecemasan kebakaran dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang.

Latihan bermula pada jam 10 pagi apabila seramai 35 kanak-kanak termasuk kakitangan taska bergegas keluar dari pusat asuhan sebaik siren kecemasan dibunyikan oleh pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi latihan.

Beberapa minit kemudian, sebuah jentera bomba dan penyelamat tiba di lokasi latihan dan terus memadam api serta menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran seperti situasi sebenar.

Pengurus taska, Salmah Ibrahim ketika ditemui berkata latihan kecemasan kebakaran itu merupakan rutin taska sebagai langkah berwaspada bagi menghadapi kejadian sebenar.

Katanya, meskipun kanak-kanak yang diasuh terutama yang masih bayi tidak mengerti akan hal itu, namun bagi kanak-kanak yang telah berumur dua tahun ke atas latihan tersebut sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang bahaya api.

“Kita telah menjalankan latihan yang sama di Taska 1Malaysia Qaseh Laila 2 Samariang minggu lepas dan hari ini kita mengadakan latihan yang sama untuk kanak-kanak dan kakitangan di sini.

“Menerusi latihan ini, kita harap kakitangan taska ini akan dapat mempelajari cara-cara menangani kebakaran dan memadam api dengan cara yang betul agar tidak marak dan mengundang bahaya kepada kanak-kanak di sini,” jelasnya.

Selain memadam api dan menyelamatkan mangsa yang terperengkap, kakitangan taska turut diberi pendedahan tentang cara-cara memadam api daripada marak.

Kanak-kanak turut berpeluang merasai pengalaman berada di dalam jentera bomba dan penyelamat bersama anggota-anggota yang bertugas.