Tiada rakyat Sarawak terlibat Militan

0

SIBU: Tiada rakyat Sarawak terlibat dalam perjuangan militan di Iraq dan Syria setakat ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sehubungan itu, beliau menasihati golongan muda khususnya agar tidak terlibat dalam mana-mana kegiatan militan.

“Perjuangan itu disifatkan sebagai perjuangan politik dan bukannya perjuangan jihad. Diharapkan, golongan muda jangan sesekali salah taksif perjuangan itu,” katanya ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini, semalam.

Tambah beliau, kementeriannya sentiasa memantau sebarang kegiatan militan di negeri ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dengan kumpulan pengganas.

Sementara itu, mengulas mengenai jenayah, Wan Junaidi berkata secara keseluruhannya Sarawak menyaksikan penurunan kadar indeks jenayah.

“Hanya kes ugutan jenayah dilihat semakin meningkat di bandar Sibu yang dilakukan dengan suspek melakukan ugutan menerusi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Dalam perkara ini, kita memerlukan kerjasama semua pihak termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan suspek,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan segelintir penjual kad SIM telefon bimbit yang tidak mendaftarkan maklumat pembeli seperti mana dikehendaki undang-undang menyumbang kepada masalah itu.

“Masalah muncul apabila suspek melakukan ugutan jenayah sama ada melalui panggilan telefon atau SMS. Pada masa sama, polis tidak dapat mengesan kerana suspek dengan mudah membuang kad SIM selepas melakukan ugutan jenayah,” jelasnya.

Wan Junaidi memberitahu, pihaknya telah mengatur satu mesyuarat khas untuk mengatasi masalah tersebut termasuk perjudian atas talian dan pemberi pinjaman wang haram.