Dahlan suntik motivasi kepada murid SK Tatau

0

BINTULU: Seramai 200 murid-murid Tahun Empat dan Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau menyertai Program 1Murid 1Sukan mendapat ilmu berguna daripada motivasi bekas legenda Ngap Sayot yang juga bekas pemain kebangsaan, Mohamad Dahlan Matussin di sekolah tersebut semalam.

Antara ceramah dikupas Dahlan ialah berkenaan seseorang yang ingin berjaya dalam bidang sukan perlu mempunyai minat mendalam dalam bidang itu.

Katanya, individu yang menceburi bidang sukan juga perlu sentiasa berlatih, bermain dengan cara yang betul serta mengutamakan disiplin dalam sukan yang diceburi mereka.

Beliau memberitahu, untuk memupuk minat dalam bidang sukan ia perlu bermula dari bangku sekolah rendah lagi.

Dahlan turut menceritakan mengenai penglibatan beliau dalam bola sepak Sarawak dengan mewakili negeri dari tahun 1990 hingga 2002 iaitu selama 12 tahun diikuti dipilih menyertai pemain kebangsaan pada 2000 serta bermain di peringkat antarabangsa di Dubai, Abu Dhabi dan Bangladesh.

Guru Besar SK Tatau, Janudin Ab Rahman berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tatau kerana menyediakan peruntukan untuk program itu.

Katanya, program Kementerian Pendidikan Malaysia itu khusus untuk murid-murid yang tidak begitu berminat dalam sukan.

“Ia juga sebagai persediaan awal pemilihan calon berbakat SK Tatau pada kejohanan sukan tahun depan,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan kehadiran Dahlan yang menyampaikan ceramah motivasinya sekali gus memberi suntikan semangat kepada murid-murid untuk terus bersukan.

Begitupun, pihaknya berharap guru-guru memberikan latihan berterusan kepada murid-murid terbabit dalam acara sukan yang disertai mereka dan tidak melatih pada saat-saat akhir sebelum pertandingan.

Selain itu, beliau berharap tahun depan SK Tatau lebih berjaya pada kejohanan sukan yang dipertandingkan  berbanding tahun sebelumnya.

“Antara sukan yang diperkenalkan dalam program itu ialah bola baling, bola sepak dan bola jaring termasuk senamrobik, ceramah klinik permainan, tayangan video permainan, bual bicara bersama tetamu dan sebagainya,” katanya.

Janudin turut berharap SK Tatau mampu melahirkan jaguh-jaguh sukan ternama pada satu masa kelak seperti atlet terjun negara, Pandalela Rinong.

Dalam pada itu, perasmian program itu disempurnakan oleh Penghulu Sanok Magai dan dihadiri oleh pemain bola sepak Bintulu Norezan Julaihi, Penolong Kanan 1 SK Tatau Hendry Lingak, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Mohamad Salihin Talip, Penolong Kanan Kokurikulum merangkap pengerusi program Sambang Tumas, penyelia petang, Awang Ali Awang Mustapha, guru-guru dan kakitangan sekolah.